Jenayah

Rusuhan Kuil: Polis Buka 4 Kertas Siasatan Ikut Akta Hasutan

SHAH ALAM: Polis membuka empat kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 berkaitan insiden rusuhan di Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata pihaknya menerima empat laporan polis yang menerima kesan akibat penularan berita dalam media sosial berkaitan kejadian itu.

“Keempat-empat kes sudah dibuka kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948.

“Ia termasuk membabitkan tangkapan ke atas ‘Papa Gomo’ (Wan Muhammad Azri Wan Deris) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Mazlan berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mempunyai niat jahat dan cuba memecah belahkan perpaduan rakyat pelbagai bangsa di negara ini.

“Laporan polis akan dibuat dan seterusanya siasatan lanjut dijalankan terhadap mereka yang terbabit mengenainya,” katanya.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan penahanan pengendali blog Papa Gomo berikutan kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan.

Penahanan itu bagi membolehkan siasatan dijalankan membabitkan satu video yang dikeluarkan Wan Muhammad Azri yang didakwa cuba menaikkan sentimen orang ramai berkaitan isu perkauman.

Media melaporkan sebanyak 18 kenderaan dibakar dan sebuah MPV polis dibaling batu dalam kejadian rusuhan di tapak kuil itu pada 26 November lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil berkenaan sebelum tercetus pergaduhan di lokasi terbabit.

Difahamkan, perselisihan faham antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil itu menjadi punca pergaduhan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");