Berita Hari Ini

RUU Pinda Auku Jangka Bentang Di Parlimen Esok – Maszlee

Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan undang-undang berkaitan dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Esok bacaan pertama pindaan beberapa seksyen, bukan sahaja Auku tetapi juga undang-undang lain yang serupa dengan Auku.

“Pindaan ini akan memberi lebih banyak kebebasan akademik kepada mahasiswa,” kata Maszlee kepada Malaysiakini pada wawancara di gedung buku Kinokuniya di Suria KLCC hari ini.

Beliau berkata selain Auku, pindaan berkenaan juga akan melibatkan undang-undang yang berkaitan dengan universiti swasta, politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagaimanapun, menteri menjelaskan beliau tidak berhasrat untuk berhenti setakat pindaan ini sahaja.

Mansuh perlu masa lebih lama

Maszlee berkata pemansuhan Auku dan undang-undang yang serupa dengan Auku juga masih dalam proses.

“Pemansuhan penuh memerlukan undang-undang yang lebih komprehensif (kerana ia) bukan sahaja untuk menggantikan Auku tetapi undang-undang yang serupa (justeru) ia memerlukan masa yang lebih lama.

“Tetapi jangan bimbang, ia sedang diusahakan kerana jawatankuasa yang bertanggungjawab merangka undang-undang baru sedang bergerak pada landasan yang betul dan kami menjangkakan menjelang 2020 kami akan mempunyai undang-undang yang komprehensif untuk bukan sahaja menggantikan Auku tetapi undang-undang lain yang serupa dengan Auku.

“Kerana Auku bukan sahaja mengenai politik tetapi ia juga tentang urus tadbir universiti dan isu-isu kewangan,” katanya.

Pada PRU14 lalu, gabungan Pakatan Harapan berjanji dalam manifestonya untuk memansuhkan undang-undang menindas, antaranya termasuk Auku.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");