Membawang Hari Ini

“Saya Hilang Keyakinan Diri Tengok Kawan-Kawan Lain” – Aiman Tino

PENYANYI Aiman Tino mendedahkan dia pernah mengalami tekanan dan hilang keyakinan diri selepas mengalami masalah tonsil bengkak sejak awal tahun ini sehingga akhirnya dimasukkan ke hospital September lalu.

Aiman, 20, berkata, akibat penyakit itu juga dia berasa rendah diri apabila melihat rakan-rakan seperjuangannya dapat meneruskan karier seni mereka manakala dia perlu banyak berehat bagi memastikan keadaannya benar-benar pulih.

“Sejak pertengahan tahun ini memang Aiman akui tidak begitu aktif kerana masalah tonsil yang dihadapi sejak awal tahun ini.

“Jujurnya situasi itu benar-benar memberi kesan kepada keyakinan Aiman sehingga nak muat naik perkembangan terkini di Instagram pun sudah jarang.

“Ia sedikit sebanyak menjejaskan karier Aiman dan disebabkan itu juga nama Aiman agak perlahan tahun ini kerana kurang membuat persembahan disebabkan masalah tonsil,” katanya ketika ditemui pada Tik Tok Year End Party pada Sabtu lapor Mstar Online.

Bagaimanapun kata Aiman, sepanjang tempoh itu dia mengambil kesempatan untuk berehat bagi memastikan kesihatan dan suaranya kembali pulih.

“Alhamdulillah sekarang Aiman sudah pulih sepenuhnya selain sudah kembali aktif mengadakan persembahan pentas malah sedang dalam proses rakaman single terbaharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aiman menolak kesihatan dan suaranya yang terjejas untuk tempoh lama disebabkan perbuatan sihir individu yang bersikap dengki terhadap kejayaannya.

“Awal-awal dahulu ada juga Aiman pergi berubat alternatif Islam apabila penyakit itu tidak sembuh-sembuh tetapi saya tidak rasa ia perbuatan khianat sesiapa.

“Aiman tidak mahu percaya terhadap perkara syirik dan kesakitan dialami ini Aiman anggap sebagai ujian daripada Allah.

“Alhamdulillah sepanjang tempoh beberapa bulan kebelakangan ini Aiman rehat, ambil ubat dan sudah pun kembali pulih,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Aiman berkata, untuk single terbaharunya dia ingin mencuba sesuatu yang baharu sejajar dengan perubahan muzik masa kini.

Kata Aiman, dia merasakan tidak salah untuk menampilkan kelainan namun masih mengekalkan identitinya sebagai penyanyi lagu balada.

“Apa yang pasti akan ada sesuatu yang baru daripada Aiman… Kalau tengok trend muzik sekarang banyak muzik rancak dan urban jadi Aiman tidak boleh ketinggalan.

“Rasanya tak salah kalau Aiman cuba menyanyikan lagu rancak namun itu bukan bererti Aiman akan lupakan identiti sebagai penyanyi lagu ‘jiwang’,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");