Perak Hari Ini

Saya Masih Yakin Dengan ADUN, EXCO PH – MB Perak

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu masih yakin dengan sokongan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) negeri terhadap beliau dalam terus menerajui kepimpinan negeri.

Katanya, ahli dan ADUN PH sudah tentu tidak dengan mudah mahu menjatuhkan sebuah kerajaan yang telah mereka perjuangkan sejak berpuluh tahun dahulu.

“Saya percaya mereka sudah merasai bagaimana berlakunya krisis politik Perak pada tahun 2009 dan tentu mereka tidak mahu ia berlaku sekali lagi.

“Saya amat yakin dengan ADUN PH dan saya juga mengalu-alukan pandangan semua pihak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, beliau turut menzahirkan keyakinan wakil-wakil rakyat PH yang sesekali tidak akan mengkhianati harapan rakyat terhadap mereka dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Saya fikir kalau benarlah ada ADUN PH mahu bekerjasama dengan UMNO dan PAS bagi menubuhkan sebuah kerajaan, yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan itu, bukan suatu tindakan yang bijak.

“Begitu juga kalau ada yang mahu jatuhkan kerajaan yang ada ini, juga bukan suatu tindakan bijak. Saya yakin semua Exco dan ADUN PH yang ‘they are not silly’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang dakwaan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad yang secara sinis memberi gambaran bahawa ADUN Tebing Tinggi, Dr. Aziz Bari merupakan individu yang didakwa mahu mengusulkan undi tidak percaya kepada Menteri Besar.

Ketika ditanya pemberita sama ada sebarang siasatan akan dilakukan ekoran dakwaan tersebut dibuat, Ahmad Faizal yang juga Pengerusi PH Perak berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pihak polis dan Majlis Presiden PH.

“Kalau apa yang kononnya dikatakan ADUN Kota Tampan itu, kalau perlu dilakukan siasatan bagi peringkat PH ataupun oleh polis, ‘I leave it to them’. Sekarang ini, saya masih memberi fokus sebagai Menteri Besar.

“Kita mungkin akan adakan perbincangan namun, lebih baik ia dibuat pada peringkat tertinggi di Majlis Presiden PH,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");