Perak Hari Ini

Saya Sudah ‘Nasihat’ MB Perak Supaya Berhati-hati- Saarani

IPOH:Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mengakui pernah memaklumkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya ‘berhati-hati’ dengan gerakan untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar Perak.

Katanya, beliau telah menghantar pesanan ringkas WhatsApp kepada Ahmad Faizal dan Penasihat Menteri Besar, Datuk Zainol Fadzi Paharudin selepas dua Adun UMNO, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Maslin Sham Razman dihubungi oleh Adun Tebing Tinggi Dr Abdul Aziz Bari berkenaan gerakan itu.

“Setelah saya sampai ke tanah air pulang dari Mekah, apabila dua adun memaklumkan perkara itu, saya telah hantar WhatsApp kepada Menteri Besar dan Datuk Zainol.

“Apa hal Tebing Tinggi merayau cari orang Umno, anda sudah jadi kerajaan mengapa cari orang Umno jadi saya nasihat kepada Menteri Besar dan Datuk Zainol supaya berhati-hati jika apa-apa terjadi jangan salahkan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Terdahulu beliau dan lima Adun Umno Perak telah hadir ke Pejabat Suruhanjaya SPRM Perak, di sini semalam bagi memberikan keterangan mengenai Akuan Bersumpah tentang usaha menjatuhkan Menteri Besar Perak.

Katanya beliau perlu hadir ke SPRM Perak semalam sekitar 3 petang bagi mengesahkan akuan bersumpah kelima-lima adun Umno yang telah ditemui oleh Adun Tebing Tinggi mengenai rancangan menjatuhkan Menteri Besar.

“Aziz Bari telah bertemu kelima-lima mereka pada tarikh dan masa yang berbeza tempat iaitu Datuk Shahrul pada 2 November sekitar jam 5 petang di sebuah hotel di Ipoh,diikuti Adun Bukit Chandan Maslin Sham pada 14 November di sebuah Restoran di Ipoh, pertemuan ketiga Adun Bota Khairul Shahril Mohamed di sebuah restoran di Ipoh pada 21 November dan pertemuan keempat bersama Adun Lubuk Merbau, Dr Jurij Jalaluddin pada 23 hari bulan di sebuah restoran di Padang Rengas.

“Malah pada malam sebelum itu, Datuk Shahrul sekali lagi ditemui Adun tebing Tinggi di sebuah hotel di Cheras sekitar jam 9 malam dan pada 1 Disember seorang lagi Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat juga telah ditemui,” katanya.

Katanya, kesemua perjumpaan itu antara lain mendakwa Menteri Besar tidak menunjukkan prestasi baik dan dia memiliki sokongan 18 adun DAP, empat parti Amanah, 4 Keadilan Rakyat yang kesemuanya 26 sokongan bagaimanapun memerlukan empat lagi sokongan daripada Umno bagi memenuhi 30 sokongan penuh untuk dilantik sebagai Menteri Besar.

“Perkara ini bukan bermula daripada Umno tetapi langkah Aziz Bari sendiri, saya sebagai ketua pembangkang saya menasihatinya kerana berkaitan politik pastinya ada rasa tidak puas hati.

“Kita perlu bersedia jika masih ada berantakan kita kena bersedia berlakunya pilihan raya kecil di negeri ini, walaupun ramai yang bersorak selepas sidang dewan Ahmad Faizal masih menjadi Menteri Besar jangan lupa anai-anai duduk dalam batu tidak nampak dari luar tapi makan dari dalam, jangan lupa nanti roboh kerana anai-anai, dalam Pakatan Harapan sudah ada anai-anai tak percaya terpulang kepada mereka,” katanya.

Katanya dalam pertemuan tersebut mereka (adun Umno) tidak dijanjikan habuan wang tetapi akan diberikan jawatan exco atau jawatan dalam Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).

Sementara itu mengulas mengenai nasihatnya kepada Menteri Besar jelas Saarani keutamaan kepada rakyat perlu diberi perhatian berikutan ia satu suasana yang tidak menyeronokkan bagi seorang pemimpin untuk mentadbir negeri.

“Jika saya seorang jurulatih bolasepak dan saya lihat salah seorang pemain saya asyik menyepak bola ke dalam gol sendiri, pastinya saya akan keluarkan pemain itu dan ganti pemain lain kerana kecenderungannya memberi gol sendiri jadi ia kata-kata kiasan bagi situasi ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");