Sukan Hari Ini

Skuad Perak Mula Latihan Pada Khamis

JUARA Piala Malaysia, skuad Perak, dijangka memulakan latihan Khamis ini selepas berehat hampir empat minggu susulan kejayaan menjulang trofi unggul itu 28 Oktober lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abdul Aziz Yeop Jamaluddin, memberitahu bahawa ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, dijangka pulang ke Ipoh esok selepas bercuti di negara asalnya, Australia, selama tiga minggu.

“Tidak tahulah saya jika ada perubahan tarikh tetapi mengikut jadual asal, pasukan akan memulakan latihan Khamis ini,” kata Aziz, sebagaimana dilaporkan Stadium Astro.

Beliau juga tidak dapat memberi kepastian sama ada pembentukan pasukan untuk menghadapi musim baru 2019 sudah selesai.

Skuad The Bos Gaurus mengekalkan majoriti pemain musim 2018 dan dijangka menggugurkan lima atau enam pemain, termasuk dua import, Misagh Bahadoran dan Jad Noureddine, serta pemain yang hanya menjadi simpanan musim ini.

“Urusan persiapan pasukan kena tanya pengurus pasukan ataupun lebih baik tunggu selepas mesyuarat agung luarbiasa (EGM).”

Beliau yang juga Naib Presiden 2 PAFA berkata tumpuan ketika ini adalah untuk menghadapi EGM bagi pemilihan presiden dan timbalan presiden persatuan itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, serta Setiausaha Kerajaaan Negeri (SUK), Zainal Azman Abu Seman, dijangka dipilih bagi mengisi kekosongan dua jawatan itu berikutan peletakan jawatan Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan Datuk Adly Shah Ahmad Tah.

Abdul Aziz juga menjelaskan EGM itu akan berjalan dalam tempoh yang singkat kerana tiada agenda lain melainkan pemilihan presiden dan timbalan presiden.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");