Berita Hari Ini

Sultan Nazrin tamat tugas memangku Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, hari ini berangkat meninggalkan Istana Negara selepas menamatkan tugas memangku Yang di-Pertuan Agong selama dua bulan.

Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, sebelum itu berkenan menghadiri Istiadat Mengucap Selamat Berangkat sebelum pasangan diraja berkenaan meninggalkan perkarangan Istana Negara kira-kira jam 5 petang.

Istiadat yang berlangsung di Dewan Seri Maharaja dimulakan dengan bacaan warkah menjunjung kasih oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Istiadat diteruskan dengan penyampaian cenderamata oleh Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, kepada pasangan diraja itu.

Keberangkatan pulang baginda berdua ke Istana Hinggap Perak di sini diiringi lambaian 500 pegawai dan warga kerja Istana Negara.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan isteri, Datin Seri Hamidah Osman, mengiringi keberangkatan baginda berdua.

Majlis turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Yusof dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Sejurus tiba di Istana Hinggap Perak, panji peribadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong diturunkan oleh lapan anggota tentera diketuai Staf Sarjan Mohd Shaiful Abdul Rashid.

Panji terbabit dilipat dan diserahkan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Istiadat di Istana Perak diakhiri dengan upacara menaikkan panji peribadi Sultan Perak.

Pada 2 November lalu, Sultan Nazrin Shah menandatangani watikah perisytiharan menjalankan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong sepanjang ketiadaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sehingga hari ini. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");