Berita Hari Ini

Surat Dari Pembaca: Haram Jual Pasir Laut Ke Singapura, Kenapa Masih Berterusan?

Sebagai rakyat (bukan bangsa) Johor saya mahukan satu kepastian. Adakah larangan terhadap penjualan pasir laut kepada Singapura masih berkuat-kuasa atau sudah terbatal.

Tujuan saya mengajukan pertanyaan ini adalah kerana saya sering diberitahu bahawa “barges” atau tongkang tunda yang membawa pasir bertan-tan berulang-alik dari Johor ke Singapura setiap hari.

Kita tahu Singapura mengguna pasir ini untuk tujuan reclamation atau menambak pesisir pantai dan dari peta-peta terbaharu Singapura, jelas tambakan pasir ini telah menambah saiz Singapura dan ini masih berterusan.

Di pihak kita pula setiap hari pasir laut kita dipunggah, hakisan berlaku dan semakin lama semakin terhakislah pantai kita.

Kerana itu, walaupun pendapatan dari jualan pasir ke Singapura ini amat lumayan, Kerajaan mengambil keputusan melarangnya kerana kepentingan negeri Johor dan generasi akan datang.

Satu lagi persoalan, jika Kerajaan melarang penjualan pasir laut ini ke Singapura, tidakkah ini bermakna penjualan itu dilakukan secara haram.

Pastinya Kerajaan tidak mengutip cukai dan penjual juga tidak akan isytihar kerana jika diisytihar, dia telah melakukan kesalahan.

Maknanya, penjual yang melakukan penjualan itu tidak ubah seperti penyeludup lain yang tidak membayar cukai dan mendapat keuntungan maksima.

Yang melarat ialah negeri Johor yang pantainya terhakis setiap hari dan dalam jangka masa panjang (telah pun berlaku) akan merosakkan ekosistem pantai dan laut disekeliling negeri Johor. Dengan perkataan lain Singapura membesar dari hakisan negeri Johor.

Sekarang inipun, banjir yang tidak pernah sebegitu besar telah melanda Johor sejak beberapa tahun yang lalu akibat dari angkara orang yang tamak.

Beza antara penyeludup lain dengan penjual pasir laut di johor ialah, penyeludup lain melakukannya dengan sembunyi-sembunyi dan takut-takut.

Dan ramai yang telah ditangkap dan dihukum.

Penyeludup pasir ini pula melakukannya secaraterang-terangan, tanpa rasa takut atau malu.

Ini membawa kepada soalan saya yang terakhir – kenapa mereka boleh melakukan penjualan atau lebih tepat penyeludupan pasir ini secara terbuka dan kelihatannya dilindungi dari sebarang penguatkuasaan undang-undang.

Ataupun pihak berkuasa bersama-sama dengan penyeludup-penyeludup ini menjual pasir Johor dan berkongsi hasil haram tersebut.

Untuk mengharap Singapura untuk tidak membeli pasir yang dilarang penjualannya adalah sesuatu yang sia-sia. Singapura tidak pernah akan hormat kepada undang-undang Malaysia dan memandang hina kepada Negeri Johor.

Saya ingin merayu kepada Kerajaan Persekutuan, jika ada sedikit kuasa ataupun rasa tanggungjawab kepada negeri Johor, tolonglah hentikan penjualan pasir laut ini ke Singapura.

Atau Kerajaan Malaysia juga takut untuk bertindak?

 

Jamri Kasim

20 Disember 2018

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");