Berita Hari Ini

Tangani Keresahan Rakyat Dengan Bijaksana

PUTRAJAYA: Pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan perlu menangani masalah dan keresahan rakyat berhubung sesuatu isu dengan lebih baik dan bijaksana.

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga perlu lebih peka bahawa rakyat mempunyai harapan menggunung kepada pentadbiran baharu yang perlu disempurnakan.

“Kita tidak harus gusar kalau ada rasa gelisah dan kekecewaan rakyat kerana mereka harap lebih cepat untuk kita betulkan institusi. Kita ada keterbatasan.

“Sebagai yang terbabit lama dalam PH, saya gesa pimpinan PH dalam kerajaan supaya lebih peka dan suara gelisah serta keresahan rakyat perlu ditangani dengan baik, tidak gopoh seperti yang lalu,” katanya.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal PH 2018 di sini, malam ini.

Anwar berkata, beliau yakin pendekatan yang lebih terbuka akan memastikan Malaysia terus aman dan teguh, selain memenuhi hasrat serta aspirasi semua kaum di negara ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata hala tuju PH adalah jelas untuk mendaulatkan undang-undang dan memberikan hak rakyat untuk bersuara.

Katanya, perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara semalam yang berlangsung tanpa sebarang insiden membuktikan rakyat boleh menyuarakan pendapat tanpa sekatan.

“Ini berbeza sebagaimana berlaku dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN) di mana tindakan menghalang dilakukan yang tidak membolehkan mereka berucap malah ada yang ditangkap dan dimaksudkan ke dalam penjara.

“Ini membuktikan Malaysia baharu pimpinan Tun Dr Mahathir menjunjung demokrasi, hak rakyat bersuara tidak disekat dan menguruskan perhimpunan berdasarkan undang-undang,” katanya.

Timbalan Presiden PH yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, pula berkata ekonomi Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan indikasi positif beransur pulih.

“Ini adalah hasil pimpinan Perdana Menteri Tun (Dr Mahathir), …kita janji kita akan melaksanakan sebaik mungkin demi kebajikan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang.

“PH bukan mewakili satu kaum, satu bangsa, satu daerah atau satu negeri. Kita mewakili semua orang tanpa mengira latar belakang etnik,” katanya.

Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata kekuatan PH bukan atas sesuatu parti saja tetapi dalam satu gabungan.

“Kita terus mendokong demokrasi, mempertahankan perlembagaan, membela semua kaum, tetap kita akan bekerja kuat untuk menjayakan janji kita dan memenuhi harapan rakyat,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");