Berita Hari Ini

Terengganu Bakal Wujudkan Pusat Riadah Wanita Di Setiap Parlimen

MARANG – Pusat riadah khusus yang dilengkapi dengan kemudahan serta kelengkapan sukan untuk dimanfaatkan golongan hawa dijangka akan dibuka di setiap Parlimen pada tahun depan.

Memetik laporan Sinar Online, Adun Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pembukaan pusat riadah itu selaras dengan kehendak golongan wanita di negeri ini yang mahu mengadakan aktiviti secara lebih privasi.

Menurutnya, ia merupakan satu inisiatif kerajaan negeri menggalakkan wanita menjalankan pelbagai aktiviti riadah sekali gus melahirkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

“Pusat rekreasi dan sukan melibatkan wanita ini menjadi harapan wanita, tidak kira dari Umno atau Pas sendiri, memang sentiasa ada permintaan dan hasrat dari wanita ini yang hendak pusat rekreasi khusus.

“Di mana kita boleh, tanpa segan silu hendak bersukan, beriadah, berzumba dan aerobik pun kita ada kawasan kita. Jadi tempat kita, ada gimnasium kita untuk sihat bersama anak perempuan kita,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Ameerah Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Baju Sekolah di Dewan Sivik Darat Pak Chan di sini, hari ini.

Namun, katanya, lokasi pusat riadah golongan wanita itu masih belum diputuskan namun memaklumkan ia akan dibuka di lokasi pusat riadah sedia ada di setiap Parlimen malah juga di setiap Dun.

“Saya akan berjumpa Exco di bawah portfolio belia dan sukan untuk diutarakan kepada Yang Berhormat Exco, berkaitan pembangunan belia termasuk mengenai pusat rekreasi wanita ini esok (hari ini),” katanya.

Pada majlis penyampaian bantuan persekolahan itu, Zuraida menyampaikan bantuan kelengkapan peralatan persekolahan itu kepada 1014 penerima daripada 13 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");