Berita Hari Ini

TH Tidak Rekod Rosot Nilai RM227.81 Juta

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, yang dibentangkan di Parlimen hari ini, mendedahkan kaedah penetapan polisi rosot nilai aset kewangan Tabung Haji (TH) sebagai tidak konsisten dan diubah sebanyak dua kali.

Laporan itu turut mendapati TH tidak merekodkan rosot nilai berjumlah RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam tiga anak syarikat dan tiga syarikat bersekutu, khususnya pelaburan dalam TH Heavy Engineering Berhad yang berjumlah RM164.58 juta bagi tahun berakhir 31 Disember 2017.

“TH diberikan Pendapat Tanpa Teguran selepas kaedah penetapan dasar rosot nilai aset kewangannya didapati tidak konsisten dan diubah sebanyak dua kali.

“Berdasarkan Perenggan 8, MFRS 136: Kemerosotan Aset, peruntukan rosot nilai perlu dibuat sekiranya nilai dibawa pelaburan adalah melebihi nilai diperoleh. Penyata kewangan syarikat itu turut menerima Penafian Pendapat oleh Juruaudit Luar,” kata laporan itu.

Berdasarkan laporan itu, TH adalah antara 17 agensi yang menerima Pendapat Tanpa Teguran berserta ‘penekanan’ bagi penyata kewangan tahun 2017.

Berdasarkan carian maksud dalam http://ekamus.dbp.gov.my, rosot membawa maksud sebagai jatuh, menjadi kurang, menyusut pada aspek harga, nilai atau ekonomi.

Pendedahan dibuat dalam laporan audit itu dibimbangi mengesahkan berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana dan pelaburan TH serta anak syarikatnya seperti didakwa syarikat itu baru-baru ini.

Jumaat lalu, TH membuat dua laporan polis terhadap bekas Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanannya.

Pengurusan kanan ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan polis pertama berkaitan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ia bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Pemegang amanah YTH ketika itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Adi Azuan dan Rozaida.

YTH ditubuhkan pada 2016 untuk mengambil alih dana kemanusiaan dan menyumbang kepada yang kurang berkemampuan, miskin dan memerlukan.

TH menyumbang sebanyak RM7 juta melalui program itu.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012.

Sementara itu, mengikut laporan audit itu juga, TH adalah antara 10 badan berkanun yang mencatat Pendapatan Janaan Sendiri Tertinggi bagi tahun 2017 yang mencatat RM4.585 bilion berbanding RM3.481 bilion pada tahun 2016.

Analisis audit turut mendapati TH mencatat pendapatan pelaburan dalam syarikat subsidiari dalam negara yang tertinggi pada tahun 2017 yang berjumlah RM322.11 juta selain mencatatkan jumlah tunai dan kesetaraan tunai antara agensi kerajaan yang tertinggi berjumlah RM11.22 bilion.

“TH melupuskan kesemua pelaburan luar negara pada tahun 2017 berbanding tahun 2016 dengan nilai pelaburan berjumlah RM0.155 bilion,” kata laporan itu lagi.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");