Perak Hari Ini

Tiada Aduan Rasmi Kenaikan Harga Makanan KFC Di Perak – Exco

IPOH: Sehingga hari ini, tiada sebarang aduan rasmi daripada orang ramai, berhubung isu kenaikan harga beberapa set menu makanan di rangkaian restoran makanan segera KFC di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan berkata, walaupun ia hangat diperkatakan di media sosial namun katanya, kerajaan negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menandang serius perkara itu.

Ujarnya, beliau menggesa agar pihak syarikat rangkaian restoran makanan itu segera tampil memberi penjelasan kepada umum berkenaan dakwaan tersebut.

Katanya lagi, terdahulu, Pengarah Urusan QSR Brands, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil menjelaskan bahawa kenaikan harga bagi set Snack Plate dan Dinner Plate di KFC adalah disebabkan ia telah dicampurkan sekali dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Mereka menyatakan bahawa bermula pada Disember 2018, harga yang dipamerkan adalah termasuk dengan SST sebanyak 6 peratus.

“Namun, berdasarkan kenyataan beliau, saya merasakan SST bukanlah satu-satunya punca kenaikan harga set makanan itu berlaku.

“Kami menyeru agar KFC menjelaskan kepada umum mengapa harga bagi set makanan tersebut meningkat hampir ke 30 peratus sedangkan jumlah SST adalah 6 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam satu operasi pemeriksaan harga barangan kelengkapan persekolahan di Pasaraya Mydin Meru Raya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Katanya siasatan akan dilakukan di bawah peruntukkan Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial Facebook berkenaan kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.

Dikatakan harga set ayam Snack Plate yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30 manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60.

Terdapat juga rungutan pengguna seperti membandingkan harga sewaktu pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah lebih murah daripada SST.

Ia turut mengundang reaksi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bukan sahaja KFC malah ia berlaku di rangkaian restoran makanan segera McDonalds.

Terdahulu, Azahari dalam satu laporan media berkata, peningkatan harga itu berlaku ekoran pelarasan margin ke atas harga produk ditawarkan, sekali gus membolehkan KFC terus menawarkan kualiti terbaik kepada pengguna.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");