Berita Hari Ini

“Tiada Kenduri, Kami Sekeluarga Mahu Berehat”

ALOR SETAR: Tiada sebarang majlis lain yang diadakan keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, mengantikan kenduri perkahwinannya yang dijadualkan pada Ahad.

Bapa arwah, Kassim Abdul Hamid, 63, berkata, pihaknya juga tidak merancang untuk mengadakan majlis tahlil pada hari berkenaan.

Menurutnya, buat sementara waktu beliau dan keluarganya mahu berehat selepas berkampung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur selama tiga minggu sebelum ini.

“Urusan pengebumian anak saya telah selesai dan buat masa ini saya tidak bercadang untuk membuat kenduri buat arwah,” katanya selepas ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, dekat sini, sebagaimana dilaporkan mStar Online, yang memetik Sinar Harian.

Tambahnya, beliau sekeluarga perlu berehat sementara waktu selepas menjaga Allahyarham Muhammad Adib.

Sementara itu, datuk saudara Allahyarham Muhammad Adib, Mohd. Shukor Osman, 53, berkata, segala persiapan perkahwinan arwah telah ditangguhkan sejak Muhammad Adib dirawat di hospital.

Menurutnya, bagaimanapun mereka sekeluarga tetap reda dengan pemergian arwah.

Terdahulu, lebih 1,000 penduduk kampung termasuk keluarga dan serta anggota dan pegawai bomba hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Muhammad Adib sejak jam 7 pagi.

Jenazah Muhammad Adib diterbangkan menggunakan helikopter MI17-IV JBPM dan tiba padang Sekolah Kebangsaan Kampung Tebengau, di sini, 10.35 pagi, selepas penerbangan yang memakan masa dua jam itu.

Dalam penerbangan itu, jenazah Allahyarham ditemani ibu bapa dan tunangnya dari Pangkalan Udara Subang, Selangor jam 7.55 pagi selepas menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur.

Jenazah yang diuruskan mengikut istiadat kebombaan di mana seramai 200 anggota dan pegawai berpakaian seragam lengkap bersongkok mengiringi jenazah sehingga ke rumah ibu bapanya di Kampung Tebengau Tepi Laut, di sini terlebih dulu untuk penghormatan terakhir.

Solat jenazah diimamkan Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang, manakala bacaan talkin disempurnakan Imam masjid, Zainuddin Hassan dan dibantu Timbalan Pengerusi masjid, Abdul Wahab Chik.

Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Adib yang parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu, disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam, di Institut Jantung Negara (IJN).

Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang perusuh susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");