Berita Hari Ini

Tol Motosikal Percuma Sempena Tahun Baharu

BUTTERWORTH: Tepat jam 12 tengah malam ini, penunggang motosikal yang menyeberangi Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS), di sini berpeluang menggunakan kedua-dua laluan berkenaan secara percuma menjelang detik tahun baharu.

Ia berikutan pemansuhan bayaran tol di laluan motosikal yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, ketika membentangkan Belanjawan 2019 awal November lalu.

Pengumuman itu disambut baik oleh seluruh rakyat yang mana melihat langkah kerajaan baharu itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan kos sara hidup.

Tinjauan mendapati laluan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang sudah dilaksanakan persiapannya oleh pihak konsensi Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Antaranya, menyediakan beberapa kon dan penghadang plastik yang akan dipasang di sepanjang 70 ke 80 meter tempat bayaran tol.

Ia sekali gus membolehkan penunggang motosikal terus menyeberangi jambatan tanpa perlu masuk ke lorong bayaran.

Seorang chef, Zulkifli Sab, 46, yang melalui jambatan itu dengan menunggang motosikal ke tempat kerjanya di Bayan Lepas selama 10 tahun, menyifatkan pemansuhan yang akan dibuat beberapa jam saja lagi sebagai rahmat dan hadiah tahun baharu.

Katanya, walaupun nilai tol motosikal itu tidak seberapa, sekurang-kurangnya ia dapat memberi penjimatan pada hari-hari seterusnya.

“Memang nilai bayaran tol motosikal ini rendah tetapi apabila dikira penggunaan yang boleh dikatakan setiap hari, ia memberi rahmat begitu besar terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah.

“Selain itu, ia juga satu sejarah baharu buat negeri ini dan saya berterima kasih kerana akhirnya ia terlaksana,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi seorang kerani, Kazman Kamaruzzam, 32, detik penghapusan tol amat dinanti-nantikan kerana ia bukan saja membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah tetapi dapat mengurangkan kesesakan.

“Jika ke tempat kerja pada waktu puncak sekitar jam 8 pagi, kawasan ini sentiasa sesak dan apabila tiada tol kelak pasti masalah ini dapat diatasi,” katanya.

Selain pemansuhan tol di kedua-dua jambatan itu, Belanjawan 2019 turut menyaksikan bayaran tol motosikal di Lebuhraya Laluan Kedua, Johor dimansuhkan.

Langkah pemansuhan bayaran tol bagi ketiga-tiga laluan itu akan memberi implikasi kewangan dianggarkan RM20 juta tetapi memanfaatkan ratusan ribu pengguna jalan raya di negeri itu termasuk negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, langkah itu adalah permulaan kepada pelaksanaan beberapa janji lain yang dibuat Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Mei lalu memetik laporan Berita Harian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");