shadow

LANGKAH usahawan, pelakon dan pengacara ternama tanah air, Neelofa Mohd Noor untuk mengembangkan karier dan perniagaannya di Eropah semakin menjadi kenyataan.

Ini kerana, minggu depan, personaliti popular berusia 29 tahun itu akan untuk menandatangani kontrak dengan dua buah agensi masing-masing di United Kingdom (UK) dan Perancis sekali gus meneroka pasaran di Eropah.

Menurut artis kelahiran Kelantan itu lagi, kedua-dua agensi berkenaan akan mewakilinya dalam bidang fesyen dan kecantikan selain mengembangkan rangkaiannya tudung jenamanya, Naelofar Hijab.

“Insya-Allah pada Selasa depan saya akan berangkat ke sana untuk menandatangani kontrak bersama dua agensi tersebut.

“Kedua-dua agensi itu sudah kukuh di Eropah dan mereka akan mewakili saya dalam usaha mengembangkan rangkaian fesyen dan kecantikan.

“Menjadi hasrat saya untuk membawa imej Muslimah dan berhijab dalam fesyen dalam pasaran di sana memandangkan gaya modest semakin mendapat tempat di Eropah,” katanya seperti dilapor portal MStar, yang dipetik Astro Awani.

Peluang meneroka pasaran antarabangsa merupakan keinginan yang sudah lama dipendam oleh pengacara program hiburan popular, Meletop itu.

Bagaimanapun, ketiadaan saluran atau mana-mana ejen yang boleh membantunya membuatkan hasratnya tidak dapat direalisasikan sebelum ini.

Dalam masa sama, usahanya memasarkan produk keluarannya ke pasaran global juga disebabkan enggan berada dalam zon selesa bagi tempoh yang lama.

“Alhamdulillah saya berpeluang bertemu dengan seorang ejen dari Amerika Syarikat yang kini adalah pengurus global saya iaitu Norman.

“Norman yang juga berkahwin dengan rakyat Malaysia sangat memahami visi saya malah dia mempunyai kepakaran merialisasikan impian saya. Beliau juga yang membantu mendapatkan kontrak di United Kingdom dan Perancis,” kata Neelofa lagi.

Komen & Pendapat