Panasnya Hari Ini

Ucapan Tun M Mesej Untuk UMNO

PUTRAJAYA: Ucapan dasar Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Kali Kedua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah mesej penting bagi menjelaskan apa yang perlu difahami orang UMNO.

Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Perdana Menteri menyatakan dengan jelas bahawa BERSATU kini mengambil alih peranan yang dimainkan UMNO.

“Kami dulu pun dari kilang UMNO juga dan apabila kita berpegang kepada alif, ba, ta iaitu agama, bangsa dan tanah air, kemudian dikhianati oleh UMNO itu sendiri.

“Apabila BERSATU melalui ucapan dasar Pengerusi mengambil alih peranan itu, kita rasa secara automatik ahli UMNO sepatutnya melihat BERSATU sebagai wadah perjuangan baharu yang mengambil alih peranan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mendengar ucapan dasar Pengerusi BERSATU pada PAT Kali Kedua BERSATU di sini, malam semalam lapor Berita Harian.

Dr Mahathir dalam ucapannya menjelaskan jika bekas ahli UMNO diterima masuk dalam BERSATU, mereka tidak dibenarkan memegang jawatan dalam parti sehingga PRU-15.

Sementara itu, Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun, berkata gesaan dibuat Dr Mahathir berhubung kepentingan keusahawanan dalam kalangan wanita adalah selari dengan perjuangan dan fokus Srikandi selama ini khususnya dalam meningkatkan penguasaan wanita dalam perniagaan.

“Kami sangat nanti-nantikan ucapan Tun ini,” katanya.

Dr Mahathir dalam ucapan dasarnya turut berkata, kerajaan akan menambah modal, peluang, lesen dan kontrak kepada kaum wanita di kampung termasuk memperbesarkan peranan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata ucapan Dr Mahathir bukan saja memberi harapan baharu kepada orang Melayu tetapi turut mengulas beberapa isu dasar.

“Antaranya mengenai pemerkasaan AIM sebagai jalan memperkasakan wanita serta rancangan untuk memastikan lebih banyak anak muda mendapat peluang pekerjaan yang bagus seperti latihan yang secukupnya dan akhirnya kekosongan peluang pekerjaan dapat diisi dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, mesej disampaikan Dr Mahathir Mohamad tidak berbaur perkauman.

Akramsyah berkata, mesej mengenai perjuangan parti itu untuk memastikan orang Melayu dan Bumiputera berjaya, adalah bersandarkan pada realiti ketidakseimbangan agihan ekonomi di negara ini.

“Kita perlu tumpu realiti dan ketengahkan isu sebenar, iaitu orang Melayu masih miskin dan terkebelakang daripada segi ekonomi.

“Kalau dikatakan populasi orang Melayu di Malaysia ketika ini adalah 60 hingga 70 peratus, nilai ekonomi negara seharusnya 60 hingga 70 peratus berada pada orang Melayu dan Bumiputera, tapi ia tidak berlaku.

“Realitinya kita tahu ketidakseimbangan daripada agihan ekonomi ini membawa perasaan tidak selamat kepada orang Melayu,” katanya.

Pengerusi BERSATU Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata ucapan Dr Mahathir ikhlas dan berterus terang untuk mengajak kaum Melayu menjadi kaum yang berjaya dan dihormati.

“Melayu perlu berhenti daripada menuding jari kepada mana-mana pihak selain daripada melihat kelemahan sendiri dan berusaha memperbaiki segala kelemahan,” katanya.

Bekas ahli UMNO yang juga ahli baru BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Dr Mahathir berpesan kepada ahli BERSATU supaya tidak risau mengenai kemasukan bekas ahli UMNO dalam parti berkenaan.

“Saya harap mereka (ahli BERSATU) tiada tanggapan salah mengenai kemasukan itu kerana kami tidak inginkan jawatan dan pangkat.

“Saya juga bersedia memberi nasihat dan berkongsi pengalaman dengan ahli BERSATU dan bukannya sebagai saingan kepada mereka. Saya jelaskan saya adalah ahli biasa dalam parti ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");