Panasnya Hari Ini

UMNO Beri Kuasa Kepada Negeri Susun Strategi Menang PRU-15

KUALA LUMPUR: Tampuk kepemimpinan tertinggi UMNO hari ini membariskan dua strategi untuk menguatkan kembali parti keramat orang Melayu itu selepas tumbang pada pilihan raya lalu.

Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata strategi pertama yang dipersetujui Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membariskan langkah untuk memperkasakan parti dan mengatur strategi menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, strategi kedua pula adalah menyusun dan menstruktur semula operasi UMNO di seluruh negara.

“UMNO ini ibarat satu organisasi besar, macam-macam kita ada. Jadi, kita ambil keputusan dan kaji semula struktur organisasi UMNO supaya dapat diuruskan dengan baik dan tersusun.

“Ini akan dibuat satu jawatankuasa diterajui Naib-Naib Presiden parti untuk tentukan bagaimana mahu beri kuasa lebih banyak kepada negeri supaya tidak terlalu ‘centralized’ (berpusat). Sekarang ini (perancangan) banyak ditentukan di ibu pejabat. Semuanya serah kepada ibu pejabat.

“Selepas ini, Perhubungan Negeri dan bahagian akan atur strategi sebab setiap negeri masing-masing berbeza. Strategi di Kelantan pasti berlainan di Johor dan lain-lain negeri pun. Sebab itu kita mahu perturunkan kuasa kepada negeri, dalam masa sama, susun strategi untuk menang PRU-15,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MKT Khas UMNO di Menara Dato Onn.

Selain itu, menurut Mohamad, antara perkara lain yang disentuh dalam mesyuarat itu ada berkisar persetujuan MKT untuk memberi autonomi penuh kepada UMNO Sabah yang kini Datuk Seri Bung Moktar Radin bertindak sebagai Pengerusi Perhubungan Negeri.

Beliau menegaskan, kuasa sepenuhnya diserahkan kepada UMNO Sabah selepas ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) keluar parti.

“Dengan autonomi penuh kepada UMNO Sabah, mereka akan ada kuasa untuk susun semula dan UMNO Sabah akan bangkit semula,” katanya.

Selepas tewas, UMNO komited untuk bangkit sebagai mulut, mata dan telinga rakyat apabila menjadi jurucakap kepada rakyat.

Katanya, pendekatan itu diibarat sebagai perkara teras yang akan menjadi dukungan parti itu dengan menekankan perjuangan rakyat.

“UMNO ambil keputusan untuk memperkasakan ‘core business’ (matlamat tunjang) parti . Kita bangkit dan jadi jurucakap pembangkang yang berwibawa serta berkesan dalam Parlimen, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.

“UMNO menggalas tugas dengan menampilkan isu membabitkan masalah rakyat termasuk berkenaan kehidupan rakyat yang terhimpit dengan kenaikan harga barangan.

“Kita akan terus jadi juara rakyat dan perjuangkan rakyat. UMNO akan kutip masalah rakyat supaya kita dapat berperanan sebagai pembangkang yang ada wibawa dan berkesan supaya nasib rakyat dapat pembelaan daripada dasar kerajaan yang menyusahkan rakyat,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");