Perak Hari Ini

UMNO Perak Yakin Tiada Lagi Ahli Parlimen, Adun Akan Keluar Parti

IPOH:UMNO Perak yakin tiada lagi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari UMNO yang akan meninggalkan parti itu seperti yang berlaku baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad menegaskan kesemua Adun dan Ahli Parlimen yang masih kekal dalam parti itu telah mengakui tidak akan bertindak sedemikian.

“UMNO Perak mengambil berat perkembangan politik yang melanda UMNO kebelakangan ini yang menyaksikan satu persatu ahli parlimennya bertindak keluar parti – sama ada untuk menjadi wakil rakyat Bebas atau menyertai parti pemerintah.

“Walau apa pun alasan yang menjurus kepada tindakan mereka, ia adalah percaturan politik yang timbul ekoran pertembungan kepimpinan parti-parti dalam kerajaan yang masing-masing mengejar dan mengumpul pengaruh bagi menjamin kedudukan merebut kerusi Perdana Menteri,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Malah tegasnya bagi Ahli Parlimen yang bertindak keluar dari parti tersebut diminta agar melepaskan jawatan yang dipegang untuk membolehkan rakyat membuat pilihan semula kerana mereka dahulunya dipilih atas kapasiti calon BN.

“Perkembangan ini hanyalah rentetan plot-plot politik yang disusun sejak awal untuk memastikan UMNO sebagai parti terbesar dan memiliki kerusi paling banyak, terus diserang dan ditekan dengan elemen-elemen dendam, ugutan dan pengkhianatan.

“Regim pemerintah mungkin mengharapkan bahawa perkembangan mutakhir ini akan menguburkan UMNO, namun ia tidaklah semudah itu dan sehingga 23 oktober 2018 ahli UMNO mencecah 310,428 orang kerana seorang keluar tak akan kami abaikan yang lain begitu sahaja.

“Meskipun menyedari tekanan dan cabaran getir yang dihadapi termasuk sekatan dan kekangan peruntukan, UMNO tidak boleh hilang fokus dalam memikul amanah rakyat serta konsisten melaksanakan tanggungjawab sebagai blok pembangkang yang kuat dan konstruktif,” katanya.

UMNO Perak juga katanya sebulat suara memberikan sokongan penuh kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan keluarganya yang berhadapan saat mencabar ketika ini.

“UMNO perak menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden parti kerana beliau dipilih oleh perwakilan di perhimpunan agung UMNO, kes beliau masih disiasat malah kami memberi sokongan padu terhadap kenyataan dikeluarkan oleh Presiden parti dan menyokong seratus peratus kerana itu adalah hala tuju parti,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada ahli UMNO yang menjadi ‘Power Broker’ didapati menghasut ahli lain untuk meninggalkan parti agar menghentikan usaha tersebut.

“Kepada ‘power broker’ terdiri daripada kalangan ahli umno sendiri yang menghasut hingga ada ahli termakan hasutan meninggalkan parti kami minta mereka menghentikan usaha jahat ini dan majlis tertinggi UMNO perlu mengambil keputusan terhadap pihak yang menjadi gunting dalam lipatan,” katanya.

Katanya setakat ini sebanyak lima wakil rakyat telah bertindak keluar parti itu iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi,Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin dan terbaru Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");