Berita Hari Ini

Vincent Tan Yakin Pemilik Beri Kerjasama Jual Tanah Kuil

SUBANG JAYA: Ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang memulakan kempen kutipan derma bagi membeli tanah yang menempatkan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 di sini, pada Ahad, yakin pemilik tanah itu akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam usahanya itu.

Katanya, beliau secara peribadi mengenali Ketua Pegawai Eksekutif Ayala Corporation, syarikat yang memiliki tanah berkenaan yang disifatkannya seorang yang dermawan dan dihormati.

“Ayala Corp adalah sebuah syarikat terbesar dan tertua di Filipina, pemiliknya adalah orang baik-baik, dihormati dan suka melakukan kerja amal.

“Ayala Corp mungkin beri kami diskaun besar, saya percaya syarikat itu akan melakukan sesuatu yang baik untuk perniagaan mereka di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat kuil berkenaan lapor Bernama.

Turut hadir Naib Presiden PKR yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.

Ayala Corporation mempunyai pegangan saham 66.25 peratus dalam syarikat hartanah tempatan MCT Bhd (MCT), yang diambil alih pada awal tahun ini oleh konglomerat multinasional berkenaan.

Tanah kuil itu dimiliki One City Development Sdn Bhd yang juga anak syarikat MCT.

Menurut Vincent Tan, sehingga Ahad, kempen derma untuk membeli tapak kuil berkenaan telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM2 juta.

Sementara itu, Dr Xavier dalam sidang akhbar yang sama berkata pihaknya mahu semua yang menandatangani penghakiman persetujuan kembali ke meja rundingan agar satu jalan penyelesaian dapat dicari.

Isu pemindahan kuil itu telah mencetuskan rusuhan di kawasan rumah ibadat berkenaan pada awal pagi Isnin dan Selasa lalu, yang menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah selain perusuh turut membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City yang terletak satu kilometer dari kuil tersebut.

Sehingga Ahad, seramai 58 individu telah ditahan berhubung insiden berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");