KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) akan mengehadkan waktu melawat anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam tempoh dua atau tiga hari ini.
Jabatan Komunikasi Korporat IJN dalam kenyataan hari ini menjelaskan ia bagi memberi ruang kepada Muhammad Adib untuk menjalani sesi fisioterapi tanpa diganggu selain mengelakkan jangkitan kuman.
“Walaupun keadaan Muhammad Adib semakin baik, dia masih dikategorikan sebagai pesakit kritikal berikutan dua organnya (paru-paru dan buah pinggang) masih memerlukan mesin sokongan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO).
“Keluarga Muhammad Adib hargai sokongan dan kebimbangan rakyat Malaysia.
“Mereka menggesa orang ramai untuk terus berdoa supaya Muhammad Adib cepat sembuh,” katanya, lapor BH Online.
Terdahulu, Muhammad Adib dilaporkan memberi reaksi positif selepas menukar sistem sokongan kepada mesin ECMO yang membantu fungsi paru-paru, pada Ahad lalu.