Panasnya Hari Ini

“YB, Jangan Ingat Kamu Boleh Diamkan Anak Muda ini”

KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil membela diri dan menempelak Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Dr. P. Ramasamy selepas didakwa ‘menghina’ kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam memilih barisan Kabinet.

Malah, Syed Saddiq bertegas tidak akan meminta maaf kerana menyuarakan pendapat dan bersedia dikenakan tindakan sekiranya apa yang dilakukannya adalah salah.

Jelas Syed Saddiq, sebagai Ketua Armada, beliau bertanggungjawab untuk membenarkan ahli-ahlinya bersuara dan tidak membukukan perasaan berdasarkan prinsip ‘berani kerana benar’.

“Saya tidak masuk politik untuk ‘play safe’ (mengambil jalan selamat). Saya tidak masuk politik untuk jadi pak turut. Saya tidak masuk politik untuk membisukan mulut dan memekakkan telinga apabila rakyat sudah pun bersuara.

“Saya cadangkan Ramasamy ambil juga tindakan ke atas Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin yang turut menyuarakan kebimbangan sama. Saya juga cadangkan Ramasamy ambil tindakan ke atas Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).

“Jangan lupa sekolahkan juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk A. Kadir Jasin,” katanya dalam akaun Facebook, malam tadi, lapor Utusan.

Semalam, Ramasamy menyifatkan Syed Saddiq ‘menghina’ kebijaksanaan Dr. Mahathir dalam menentukan barisan Kabinetnya berikutan tindakan Menteri Belia dan Sukan itu yang didakwa turut menyokong desakan supaya P. Waytha Moorthy berundur sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tambah Syed Saddiq, Pemuda DAP sendiri pernah mendesak Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk meletakkan jawatan namun apabila ada kepemimpinan Armada membuat tindakan sama, sayap pemuda Bersatu itu dituduh mengkhianati Pakatan Harapan dan memainkan sentimen perkauman.

“Perkara ini tidak ada kena mengena dengan soal perkauman. Ini soal bersetuju untuk tidak bersetuju, bukan menekan hak rakyat menyatakan pendapat dengan bebas.

“Jadi YB (Ramasamy), jangan sesekali ingat kamu boleh mendiamkan anak muda ini,” ujar beliau

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");