shadow

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju melanjutkan operasi di 7 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di dalam pusat membeli-belah seluruh negara sehingga jam 10 malam, bermula 22 Januari ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, memaklumkan pindaan waktu operasi itu diputuskan selepas menerima maklum balas daripada orang awam yang memohon supaya operasi UTC di beberapa lokasi tertentu dilewatkan sehingga 10.00 malam.

“Berdasarkan kepada kajian yang dilaksanakan sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) menetapkan waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (Urban Transformation Centre atau UTC) seluruh negara dari 8.00 pagi hingga 7.00 petang.

“Walau bagaimanapun, maklum balas yang diterima daripada orang awam memohon supaya operasi UTC di beberapa lokasi tertentu dibuka sehingga 10.00 malam.

“MOF telah mengkaji kesesuaian UTC yang boleh melaksanakan waktu operasi tersebut dan menetapkan 7 buah UTC
yang terletak di dalam pusat membeli-belah untuk dilewatkan waktu operasinya,” katanya.

Dalam kenyataan itu, UTC yang dilanjutkan waktu operasinya membabitkan UTC Shah Alam di Selangor; UTC Keramat di Kuala Lumpur; UTC Seremban, Negeri Sembilan; UTC Alor Setar, Kedah; UTC Johor Baru, Johor; UTC Kota Bharu, Kelantan dan UTC Kuala Terengganu di Terengganu.

Semua 7 UTC terbabit akan beroperasi mulai jam 1 tengah hari hingga 10 malam pada hari bekerja, manakala jam 8 pagi hingga 5 petang pada hari minggu.

Waktu operasi UTC di lokasi lain di seluruh negara turut dipinda bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Pertukaran waktu operasi ini turut dibuat sebagai langkah penjimatan perbelanjaan kerajaan.

“Namun begitu, UTC tetap beroperasi selama tujuh (7) hari seminggu kecuali cuti umum bagi memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan Kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, dalam satu surat edaran yang ditanda tangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir bertarikh 12 Dis 2018, memaklumkan semua UTC di seluruh negara akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga 7 petang, bermula 1 Jan

15 Dis lalu, rata-rata pelanggan UTC yang ditemui FMT kecewa dengan keputusan kerajaan memendekkan waktu operasi pusat berkenaan sehingga jam 7 malam bermula tahun ini.

UTC yang diilhamkan oleh kerajaan sebelum ini sebagai pusat khidmat setempat bagi memudahkan rakyat berurusan dengan jabatan dan agensinya dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam.-FMT

Komen & Pendapat