Jenayah

Bergaduh Dengan Ibu, Lelaki Bertindak Terjun Jambatan

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental, dikhuatiri lemas selepas terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 29 tahun dari Pasir Mas itu dipercayai bertindak demikian selepas bertengkar dengan ibunya dalam kereta ketika mereka dalam perjalanan menuju ke Kota Bharu.

Difahamkan, mangsa telah mengarahkan ibunya untuk memberhentikan kereta berdekatan dengan jambatan. Mangsa kemudian bertindak keluar kereta dan berjalan menuju ke jambatan. Ibunya cuba menghalangnya tetapi gagal.

Ibu mangsa kemudian meminta pertolongan seorang penunggang motosikal yang berada di situ untuk menghalang anaknya.

Menurut seorang saksi, Ibrahim Yusof, 55 tahun, dia ternampak mangsa bergelut dengan pemuda tersebut sebelum dia terlepas dan terus berjalan ke tengah jambatan.

“Saya diberitahu oleh penunggang motosikal itu, mangsa ingin terjun ke dalam Sungai Kelantan dan saya segera memecut motosikal saya untuk mendekatinya.

“Saya memegang lengannya namun dimarahi. Tiba-tiba dia panjat penghadang jambatan, saya tarik seluarnya tetapi koyak dan mangsa terus terjun ke dalam sungai,” katanya.

Sejurus itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darulnaim tiba untuk operasi mencari dan menyelamat.

Operasi turut membabitkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Bharu yang menjalankan pencarian di sekitar lokasi mangsa jatuh.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");