Sukan Hari Ini

Beri Tumpuan Latihan Di Gimnasium

KUALA LUMPUR – Datuk Lee Chong Wei berkata, gelanggang yang sebelum ini biasa menjadi lubuk permainannya di Akademi Badminton Malaysia, kini dilihat begitu besar pada hari pertamanya memegang raket dan dia mengakui memerlukan lebih masa bagi membina semula otot.

Chong Wei tiba di Akademi Badminton Malaysia pada pukul 8.13 pagi, hari ini, bagi memulakan latihan pertamanya di gelanggang sebelum pulang 12.30 tengah hari, namun, 70 peratus dari­pada masa tersebut dihabiskan di dalam gimnasium berbanding meme­gang raket.

Menurut bekas jaguh No.1 dunia itu, untuk peringkat awal, doktor hanya membenarkan dia menjalani latihan ringan dan dalam tempoh se­minggu mungkin hanya empat kali perlu berada di gimnasium atau gelanggang.

“Semuanya perlu bermula dengan perlahan-lahan dahulu dan disebabkan sudah lama tidak menjalani latihan, saya juga perlu membina semula otot-otot di gimnasium terlebih dahulu bagi mendapatkan kekuatan.

“Jika dulu, saya boleh menjalani latihan secara 100 peratus, namun, kini untuk permulaan hanya 30 peratus, malah, doktor juga tidak membenarkan saya menjalani latihan lebih kuat lagi.

“Kemahiran individu masih ada, cuma saya banyak kehila­ngan otot-otot yang perlu dibina semula di gimnasium. Saya sedar selepas balik hari ini mungkin badan akan sakit-sa­kit tetapi semuanya akan kembali normal,” kata Chong Wei.

Permulaan latihan kali ini dilihat mencabar buat Chong Wei yang telah pulih daripada kanser hidung tahap satu sehingga memaksanya menggantung raket selama lebih lima bulan bagi membolehkannya menjalani rawatan dan berehat secukupnya.

Misi Chong Wei masih sama iaitu untuk membuat persiapan rapi bagi melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2020.

Sementara itu, Chong Wei turut memberitahu, dia akan terus memainkan peranannya seperti dahulu sebagai sumber inspirasi kepada atlet muda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas ketiadaan ramai pemain senior lapor Utusan Online.

“Pada hari pertama memang saya rasa berlainan berbanding sebelum ini dan saya harap dapat membina semangat serta keyakinan pemain-pemain baharu. Apa yang penting kini beri masa lagi dan semuanya akan kembali normal,” kata Chong Wei.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");