Perak Hari Ini
Like

Cacat Penglihatan Bukan Penghalang Azhar Berjaya Jadi Mekanik Motosikal

January 3, 2019
139 Views
0 Comments
4 minutes read
Cacat Penglihatan Bukan Penghalang Azhar Berjaya Jadi Mekanik Motosikal

BATU GAJAH: Diuji Allah dengan mengalami kecacatan penglihatan sejak lahir tidak sama sekali melemahkan Azhar Ibrahim, 36, yang tinggal di Kampung Batu Enam, Jalan Tanjung Tualang, di sini untuk terus hidup berdikari.

Malah berkat kesungguhan dan minat mendalamnya terhadap motosikal kini telah berjaya membawanya menjadi seorang mekanik motosikal di sebuah bengkel yang diusahakannya sendiri sejak tahun 2008, di kampungnya.

Azhar juga sendiri mengakui tidak tahu menjelaskan lebih lanjut bagaimana dirinya seorang Orang Kelainan Upaya (OKU), begitu mahir dalam membaiki motosikal dengan hanya menggunakan deria pendengaran dan deria rasa.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana, mungkin ia kuasa Allah. Namun, ini juga berdasarkan minat saya.

“Sejak daripada sekitar umur 7 tahun, saya amat tertarik dan gemar terhadap bunyi-bunyian.

“Masa kecil, jika ada bunyi motosikal datang ke rumah, saya akan mendekatinya dan cuba ‘usik’ bahagian-bahagian motor tu sedikit,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, usahanya untuk mengetahui lebih mendalam tentang motosikal turut dibantu oleh rakan-rakanya.

Selain itu, jelas Azhar, bengkel motosikalnya pada awal hanyalah berada di bawah rumahnya dan ia juga bermula daripada beliau membaiki motosikal milik bapa saudaranya dan bapanya.

“Selepas rakan-rakan kongsikan tentang bengkel saya ini di Facebook, ia mula tular dan pada tahun 2013, saya telah menerima bantuan daripada pelbagai agensi. Alhamdulillah, ia menjadi besar sedikit dan ia seperti sekarang ini,” katanya.

Tambahnya, beliau juga pernah menerima pelanggan yang datang daripada Shah Alam, yang berhajat untuk meminta Azhar memperbaiki motornya.

 

Didik Untuk Berdikari Sejak Kecil

Anak kelima daripada enam orang adik beradik itu berkata sifat berdikari memang sudah didik oleh ibu bapanya sejak daripada kecil lagi.

Katanya, pernah beberapa orang menasihatkan ibunya untuk memberi Azhar tongkat bagi memudahkan beliau untuk berjalan.

Namun kata Azhar, ibunya tidak mahu berbuat demikian kerana tidak mahu Azhar kelihatan seolah-olah berbeza dengan adik beradiknya lain yang normal

Disebabkan itu, walaupun cacat penglihatan, namun Azhar tidak kekok berjalan tanpa menggunakan tongkat.

 

Usaha Yang Dipermudahkan Allah

Dalam pada itu, Azhar yang dilihat merendah diri sentiasa berasa bersyukur kerana sepanjang tempoh menjalankan perusahaannya, beliau sentiasa dibantu rakan-rakan selain tidak pernah berasa susah.

Beliau juga bersyukur kerana sehingga kini tidak pernah diambil kesempatan oleh mana-mana pihak cuma katanya baru-baru ini sahaja bengkelnya mengalami kehilangan barang.

“Setakat ini, Alhamdulillah saya tak berasa susah. Saya tidak minta untuk menjadi kaya. Cukup sekadar saya dapat menampung makan, minum, dan pakaian saya.

“Orang kata, janji duit itu tidak putus,” katanya yang memperoleh pendapatan mencecah RM800 sebulan.

 

Impian Azhar

Ketika ditanya pemberita tentang impian terhadap bengkelnya, Azhar berkata beliau berharap agar bengkel dan papan penunjuk arah ke bengkelnya itu dapat diperbesarkan lagi.

“Saya buat masa ini, tidak mampu untuk menggaji pekerja namun jika ada yang mahu mempelajari cara membaiki motor daripada saya, Insyallah saya boleh ajarkan,” katanya.

Tambah Azhar, bengkelnya itu dibuka setiap hari, kecuali jika beliau mempunyai urusan peribadi yang lain.

Bengkel yang sering menjadi tempat rakan-rakanya berkumpul itu pagi tadi telah dikunjungi Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar serta Exco Sumber Manusia Negeri, A.Sivanesan.

Azhar yang ditemui berkata beliau berasa gembira kerana pimpinan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sudi bertandang ke bengkel motosikalnya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.