Berita Hari Ini
Like

Dakwaan Pencerobohan Perairan: Singapura Batalkan Mesyuarat JMCIM

January 12, 2019
42 Views
0 Comments
1 minute read
Dakwaan Pencerobohan Perairan: Singapura Batalkan Mesyuarat JMCIM

JOHOR BAHRU: Singapura bercadang menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini.

Ia diumumkan dalam satu kenyataan oleh Pejabat Kementerian Luar Singapura hari ini susulan isu dakwaan pencerobohan kapal Malaysia ke perairan republik itu di Tuas, Rabu lalu.

“Pencerobohan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian ke wilayah perairan Singapura di Tuas pada 9 Januari lalu membuatkan Mesyuarat JMCIM kali ke-14 tidak dapat dipertahankan.

“Susulan itu, Singapura mencadangkan untuk menangguhkan Mesyuarat JMCIM dan Malaysia bersetuju (dengan cadangan itu),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Delegasi Malaysia yang hadir ke Mesyuarat JMCIM yang dijadualkan berlangsung pada Isnin ini akan diketuai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan turut diiringi Osman.

Kelmarin, sebuah portal berita Singapura melaporkan lima kapal Malaysia didakwa memasuki perairan Tuas, Singapura.

Portal berkenaan turut menyiarkan beberapa gambar ihsan daripada Pasukan Polis Singapura yang memaparkan rombongan Osman ketika membuat lawatan ke aset Jabatan Laut, MV Pedoman kelmarin.

Bagaimanapun, semalam Osman menafikan dakwaan laporan portal berita Singapura berkenaan dan yakin rombongannya ketika mengadakan lawatan itu masih berada di dalam perairan negara kerana pasukan yang bertugas untuk mengendalikan kapal itu adalah daripada mereka yang arif mengenai persempadanan maritim.

Katanya, agenda lawatan itu bukan untuk melakukan provokasi ke atas negara jiran, sebaliknya untuk menghantar bekalan makanan kepada pasukan keselamatan yang bertugas yang dilakukan setiap dua minggu sekali.

Komen & Pendapat

Comments are closed.