Berita Hari Ini
Like

Denda RM200 Hingga RM1,000 Hilang Pasport Berkuatkuasa

January 13, 2019
33 Views
0 Comments
2 minutes read
Denda RM200 Hingga RM1,000 Hilang Pasport Berkuatkuasa

PORT DICKSON: Penalti antara RM200 hingga RM1,000 bagi penggantian pasport Malaysia yang hilang akibat kecuaian telahpun diwartakan dan dikuatkuasakan sejak 2 Jan lepas.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata denda sebanyak RM200 dikenakan kepada kepada pemilik yang kehilangan pasport kali pertama manakala kali kedua denda sebanyak RM500 dan denda RM1,000 dikenakan bagi kehilangan pasport kali ketiga.

“Bagaimanapun kehilangan akibat kecurian, rompakan, kebakaran atau bencana tertentu dikecualikan denda namun pemegang pasport perlu membuat laporan polis.

“Kes kehilangan pasport meningkat setiap tahun. Jadi denda yang dikenakan adalah kerana kita mahu pemegang pasport menjaga pasport mereka dengan rapi, berhati-hati dan bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Penolong Penguasa Imigresen Gred KP29 Siri 1 Tahun 2019 di Akademi Imigresen Malaysia di sini.

Abdul Halim berkata jabatan itu merekodkan sebanyak 83,617 kes kehilangan pasport pada tahun lepas berbanding 75,600 pada 2017 dan 44,528 pada 2016.

“Melihat perkara ini yang meningkat setiap tahun, maka ia perlu kepada satu peraturan yang ketat kerana ia membabitkan dokumen keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata antara alasan kehilangan pasport dikalangan pemegang pasport ialah hilang dalam simpan, tersalah letak serta tercicir.

“Pasport ini perlulah disimpan ditempat yang selamat,” katanya dan menambah sehingga Disember tahun lepas, sebanyak 2 juta pasport telah dikeluarkan jabatan itu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Halim berkata sebanyak 14,724 operasi dijalankan jabatan itu diseluruh negara dengan 191,218 orang diperiksa sepanjang tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 48,372 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 1,468 majikan ditahan.

“Bagi tempoh 1 Jan hingga 10 Jan tahun ini, sebanyak 313 operasi telah dijalankan membabitkan seramai 3, 746 individu diperiksa.

“Daripada jumlah yang diperiksa, 1,367 PATI dan 14 majikan ditahan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, seramai 220 peserta menamatkan latihan dengan 151 peserta lelaki dan baki 69 orang peserta wanita.

Pada majlis itu, Abdul Matar Abdul Mutalib, 39, dinobatkan Kadet Terbaik Anugerah Ketua Pengarah Imigresen manakala Muhammad Ikhsan Ahmad, 32, sebagai Kadet Akademik Terbaik.

Muhamad Radhi Abdul Halim, 25; Kamarul Ihsan Umor, 27, dan Muliyati Hamid, 33, masing-masing dinobatkan Kadet Personaliti Terbaik, Kawad Lelaki Terbaik dan Kawad Wanita Terbaik.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Eksekutif Pusat Anti Jenayah Kewangan Nasional (NAFCC) Datuk Seri Mustafar Ali, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengarah Akademi Imigresen Malaysia Jasmi Juwahir lapor Bernama.

Komen & Pendapat

Comments are closed.