Berita Hari Ini

Diskaun Untuk Rumah Siap Tidak Terjual

KUALA LUMPUR: Pembeli berpeluang menikmati diskaun bagi rumah siap tidak terjual yang ketika ini mencecah nilai tertinggi RM19.54 bilion, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, satu ekspo pemilikan rumah mega untuk mempamerkan unit-unit rumah berkenaan akan diadakan pada 1 hingga Mac ini.

“Rumah yang siap dibina namun tidak terjual dan menjadi lambakan di pasaran dijangka dapat diatasi menerusi ekspo pemilikan rumah berkenaan.

“Malah, kerajaan sendiri turut komited untuk membangunkan 100,000 rumah mampu milik setiap tahun seterusnya mencapai sejuta rumah mampu milik oleh rakyat negara ini dalam 10 tahun.

“Bagaimanapun, ia bukan saja tugas KPKT tetapi ia perlu dilakukan dengan sokongan dan kerjasama kerajaan negeri dan pemain swasta,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran program ‘BERNAMA Property Hot Seat Presented by Sunsuria’ di sini, hari ini.

Data diterbitkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan bilangan kediaman tidak terjual di negara ini meningkat kepada 30,115 unit pada suku ketiga 2018.

Jumlah itu meningkat 48.35 peratus berbanding 20,304 unit pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata kumpulan isi rumah berpendapatan menengah (M40) tidak akan ditekan oleh model subsidi bersilang kerana rumah mampu milik kebanyakannya dibina oleh kerajaan.

“Perkara ini tidak menjadi isu sebenarnya kerana syarikat swasta dipelawa untuk turut sama menyediakan kediaman, perkhidmatan dan lokasi terbaik kepada masyarakat.

“Jika syarikat swasta merasakan mereka mampu menyediakan kediaman yang lebih baik, mereka dialu-alukan untuk turut sama dalam pasaran terbuka ini.

“Namun, kita akan mengawalnya untuk memastikan apabila membina rumah mampu milik bagi kumpulan 40 peratus pendapatan terendah (B40), mereka harus mengikut dasar yang telah kerajaan tetapkan,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan melarang warga asing membeli aset di projek hartanah di Forest City, beliau bagaimanapun menafikannya.

Katanya, kementerian masih menunggu laporan daripada pemaju Forest City mengenai pelan mengenai komponen rumah mampu milik di projek pembangunannya memetik laporan Berita Harian.

“Tiada sebarang larangan kepada mereka untuk memiliki aset di sana, malah boleh membeli sebagaimana warga asing biasa.

“Cuma apa yang menjadi kebimbangan ialah komponen rumah mampu milik tiada di situ, dan kami masih menunggu cadangan dari pemaju mengenai idea mereka bagi memenuhi keperluan segmen mampu milik ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");