Berita Hari Ini

Dr Mahathir Tiba Di Vienna, Lawatan Kerja 3 Hari

VIENNA: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Vienna petang ini untuk menghadiri dua forum antirasuah iaitu Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Pertubuhan Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IAACA) serta menyampaikan syarahan di International Anti Corruption Academy (IACA).

Pesawat membawa Perdana Menteri itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vienna kira-kira jam 4.15 petang waktu tempatan (jam 11.15 malam di Malaysia).

Dr Mahathir yang melakukan lawatan kerja tiga hari ke Austria diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau disambut di lapangan terbang oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan Duta Besar Malaysia ke Austria, Datuk Ganeson Sivagurunathan

Acara kemuncak lawatan Dr Mahathir ialah menyampaikan ucaptama pada persidangan IAACA bertemakan “15 Tahun Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah, Pencapaian dan Prospek di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC) Selasa ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berusia 93 tahun itu juga dijadual menyampaikan syarahan bertajuk “Memerangi Rasuah di Malaysia: Pencapaian, Cabaran dan Perspektif” di IACA esok.

Dr Mahathir juga dijadual bertemu Canselor Republik Austria, Sebastian Kurz di Federal Chancellery dan Presiden Persekutuan Republik Austria, Dr Alexander Van der Bellen di Istana Hofburg, selain bertemu Komuniti Perniagaan Austria serta berdialog dengan warga diaspora Malaysia.

Ini penampilan pertama Perdana Menteri dalam kedua-dua forum.

Kali terakhir Dr Mahathir melawat Austria ialah pada 1985 ketika beliau menyandang jawatan Perdana Menteri keempat. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");