Panasnya Hari Ini

GERAKAN Tidak Terima Dana 1MDB – Dominic

KUALA LUMPUR: GERAKAN mengesahkan ibu pejabat parti itu tidak menerima sebarang dana daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presidennya, Datuk Dominic Lau, berkata bagaimanapun beliau tidak mengetahui jika mana-mana negeri atau cawangan parti ada menerima wang daripada syarikat berkenaan.

Katanya, berdasarkan akaun ibu pejabat tidak menunjukkan parti menerima wang daripada syarikat berkenaan.

“Kita mempunyai 300,000 ahli. Untuk akaun parti di negeri dan cawangan, ibu pejabat tidak campur tangan, kita tidak tahu jika menerimanya atau tidak,” katanya pada sidang media di ibu pejabat GERAKAN di Menara PGRM di sini, hari ini, lapor BH Online.

Laui berkata demikian ditanya mengenai seruan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mahu semua parti politik daripada kerajaan terdahulu, memulangkan duit yang dikatakan milik 1MDB.

Sebelum ini, portal tempatan melaporkan parti politik iaitu UMNO, MCA, MIC, GERAKAN dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), dipercayai menerima dana berjumlah RM470 juta daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Laporan berkenaan antara lain menyebut GERAKAN Kedah dan Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (BN) Taiping menerima, masing-masing RM200,000 dan RM100,000.

Lau berkata, jika kerajaan mempunyai bukti parti itu ada menerima wang daripada 1MDB, mereka bersedia memulangkannya semula.

Katanya, GERAKAN mahukan bukti ‘hitam putih’ berhubung perkara itu.

“Kita akan pulangkan seratus peratus jika ada bukti yang kukuh mengenainya,” katanya.

Ditanya sama ada BN ada menerima wang daripada syarikat pelaburan berkenaan, katanya perkara itu perlu ditanyakan kepada kepemimpinan BN.

“Saya baru saja menjadi Presiden GERAKAN dalam 53 hari dan perkara itu perlu ditanya kepada presiden yang lalu. Lagipun GERAKAN kini sudah keluar dari BN, kami kini bergerak sendiri,” katanya.

Mengulas sama ada kerajaan ada meminta butiran akaun parti itu, katanya dalam pengetahuannya, perkara itu tidak pernah berlaku.

“Jika kerajaan mahu menyiasat berhubung akaun parti, kami bersedia untuk memberikan kerjasama,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");