Berita Hari Ini

Guan Eng Kata Najib Tak Tahu Beza UIAM, UIM

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan Najib Razak sebagai keliru dan tidak tahu membezakan di antara Universiti Islam Malaysia (UIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Lim berkata, bekas perdana menteri itu menerusi hantaran Facebook rasminya sebelum ini membuat kesilapan kerana UIM sememangnya sebuah kolej swasta tidak berasaskan keuntungan yang beroperasi di Cyberjaya.

“Amatlah dikesali beliau tidak tahu perbezaan di antara UIM dan UIAM sungguhpun telah memegang jawatan kerajaan sekian lama dan berkhidmat di Putrajaya selama lebih 20 tahun.

“Mustahil seorang bekas perdana menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?” soalnya dalam satu kenyataan.

Najib baru-baru ini membuat satu hantaran Facebook yang mempersoalkan kefahaman Lim tentang perbezaan antara kolej swasta dengan universiti awam milik kerajaan.

Pada hantaran itu, Najib menyifatkan tindakan Lim membandingkan peruntukan untuk tiga kolej universiti swasta dengan peruntukan RM15 juta kepada UIAM sebagai tidak masuk akal dan agak memperlekehkan rakyat.

Lim sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Kewangan menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada UIM yang berstatus universiti swasta dan tidak bermotifkan keuntungan.

Untuk rekod, UIM ditubuhkan di Cyberjaya pada 2012, apabila Kolej Islam Malaya – iaitu sebuah institusi pengajian Islam dengan sejarah panjang melahirkan ramai tokoh di Malaysia – dinaik taraf dengan perkenan Majlis Raja-raja.

Mengulas lanjut, Lim turut mempersoalkan sama ada Najib tidak membaca dengan teliti laporan yang ada terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan seumpama itu.

“Sekarang siapa yang membuat kenyataan yang tidak masuk akal dan agak memperlekehkan rakyat?

“Seharusnya Najib memohon maaf atas kesilapannya tetapi saya yakin beliau tidak akan berbuat demikian kerana beliau rasa tidak akan pernah berbuat salah (can do no wrong),” katanya.

Sementara itu, Lim turut mengulas reaksi Najib bahawa skandal 1MDB bukan silap beliau seorang, sebaliknya kegagalan keseluruhan sistem.

Lim berkata anggota parlimen Pekan itu masih tidak mahu insaf dan berdegil menyatakan 1MDB menguntungkan rakyat.

“Sungguhpun Goldman Sachs telah minta maaf, Najib masih berdegil dan berkeras yang beliau tidak bersalah dan enggan memohon maaf.

“Sebaliknya beliau menyalahkan sistem sungguhpun beliau mewakili sistem itu semasa menjadi perdana menteri Malaysia pada waktu itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");