Sukan Hari Ini

Hafiz Tekad Balas Kepercayaan PKNP

PEMAIN tengah, Mohd Hafiz Kamal, bertekad membalas kepercayaan PKNP FC dengan memberi sumbangan terbaik dalam kancah Liga Malaysia musim 2019.

Menurut laporan Stadium Astro, Hafiz berterima kasih kepada majikan barunya itu kerana memberinya peluang meneruskan kerjaya bola sepaknya.

Walaupun berhasrat untuk bersama Perak The Bos Gaurus, Hafiz sedar peluangnya beraksi dalam kesebelasan utama skuad juara Piala Malaysia 2018 itu agak sukar.

“Tidak mudah bagi saya untuk mendapat kembali tempat dalam pasukan Perak selepas setahun lebih tidak beraksi,” katanya.

“Persaingan pastinya sengit dan jurulatih juga sudah punyai kesebelasan utamanya yang memenangi Piala Malaysia tahun lalu.

“Sebaliknya, peluang saya untuk beraksi buat PKNP lebih mudah. Cuma, saya perlu buktikan kepada jurulatih bahawa saya sudah boleh beraksi.

“Apa yang saya perlukan sekarang ialah beraksi dan bukannya hanya menjadi penonton,” tambahnya yang membuat keputusan menyertai PKNP FC berikutan syarat ketat yang dikenakan Perak untuk menerimanya kembali.

Hafiz, 31, juga gembira kerana akan beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) yang kebetulan dekat dengan kampung halamannya di Pantai Remis.

“Saya berharap orang kampung dan penduduk daerah Manjung akan hadir di Stadium MPM setiap kali kami adakan perlawanan di sana.

“Ia akan menyemarak sokongan terhadap pasukan PKNP,” ujarnya.

Sebagai permulaan, Hafiz berharap dia akan dapat beraksi dalam perlawanan pertamanya sejak kembali menjalani latihan dua bulan lalu apabila PKNP bertemu Perlis dalam perlawanan pra-musim, esok.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");