Perak Hari Ini

Ibu Bapa, Anak Tahun 1 Zahir Keterujaan Hari Pertama Persekolahan 2019

IPOH: Rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak tahun satu menzahirkan keterujaan apabila anak mereka memulakan sesi persekolahan untuk 2019, pada hari ini.

Tidak kurang juga ramai antara mereka yang berkongsi rasa keterujaan dan gelagat anak masing-masing di laman sosial Facebook.

Seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata, Norazni Mohd Rahim, 42 berkata anak bongsunya, Muhammad Zulfikri Muhammad Rashdan, berasa sangat teruja untuk memasuki sesi persekolahan pertamanya.

Katanya, sejak beberapa minggu lalu anaknya melahirkan keterujaan untuk ke sekolah selepas mendengar cerita tentang alam persekolahan daripada abang dan kakaknya yang masing-masing kini di bangku sekolah menengah.

“Alhamdulillah anak saya tidak menangis sebaliknya dia kata berasa seronok dan tidak sabar untuk ke sekolah. Katanya, dia mahu menemui rakan-rakan baharu.

“Saya berharap anak saya dapat mempelajari ilmu yang berguna dan kepada para guru didiklah anak saya dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Ameerul Aiman, Muhammad Razak Hashim, 36 berkata anaknya juga tidak menangis dan meragam pada hari pertama persekolahannya pagi tadi.

“Mungkin kerana pengalamannya pernah berada di tadika sebelum ini, telah menjadikan dia tidak meragam untuk ke sekolah.

“Harapan saya sama seperti ibu bapa lain, iaitu untuk melihat anak saya membesar menjadi insan yang soleh,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang kakitangan awam, Khairul Anuar Ahmad, 40 berkata rumahnya kini berasa sedikit sunyi apabila anak sulungnya sudah mula memasuki Sekolah Raja Perempuan Taayah semalam.

Namun katanya, beliau dan anak-anak yang lain reda selain menaruh harapan tinggi buat kejayaan anaknya itu.

Difahamkan, kira-kira 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah mendaftar pada sesi persekolahan 2019 di seluruh negara.

Daripada angka tersebut, seramai 373,039 murid telah memulakan hari pertama sesi persekolahan tahun ini di 1,102 sekolah seluruh Perak.

Daripada jumlah itu juga, seramai 33,233 orang merupakan murid tahun satu di 852 sekolah rendah.

Ia turut menyaksikan 39,117 guru kini kembali memulakan proses pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah di negeri ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");