Perak Hari Ini

Istimewanya Laksa Mi Di Segari

MANJUNG: Laksa Mi boleh dianggap makanan ‘signature’ daerah Manjung terutama di Segari, Pantai Remis dan Pulau Pangkor yang menjadi tempat asal atau identiti kepada juadah ringkas berasaskan makanan laut ini.

Malah sehingga kini ia semakin digemari penduduk luar daerah itu dan terdapat dua variasi penyediaan makanan istimewa ini iaitu dihidangkan bersama sup dan tanpa sup.

Di Pulau Pangkor laksa mi dihidangkan bersama sup dan sambal, namun di Segari dan Pantai Remis menu itu hanya dimakan dengan sambal tumis dan lebih unik, mi juga dibungkus dengan daun pisang.

Namun, berbeza di Pantai Remis penduduknya juga gemar menyediakan laksa bersama sup udang atau ketam berbanding Pulau Pangkor yang lebih banyak menggunakan ikan.

Pengusahanya Mariah Zakaria, 46, berkata, biarpun nama menu itu laksa mi tetapi bukan laksa atau mi biasa yang digunakan sebaliknya menggunakan mi khas untuk juadah berkenaan.

Katanya, mi yang digunakan juga mempunyai dua pilihan iaitu mi kuning dan putih, namun mi putih lebih digemari ramai.

“Laksa mi di sini berbeza dengan Pangkor kerana kami tidak menyediakan sup untuk dimakan bersama mi kerana di sini ia lebih digemari makan dengan sambal tumis merah sahaja bersama kacang panjang, udang dan lobak masin.

“Untuk kuah sup boleh menggunakan ikan, udang atau ketam,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 3 Segari, Manjung.

Menurutnya, istimewa laksa mi hanya boleh didapati di Segari, Pantai Remis dan Pulau Pangkor sahaja dan tiada di tempat lain termasuk mi kering yang hanya dijual di beberapa lokasi sahaja di daerah ini.

Katanya, bukan sahaja berbeza cara penyediaan menu, lebih menarik laksa mi di Segari dibungkus dengan daun pisang yang memberikan aroma menyelerakan serta keunikan dan bercirikan identiti tersendiri.

“Juadah ini ringkas sahaja hanya mi kosong dan sambal tumis selain penambahan sup, namun ia tetap enak dan diakui pelanggan sendiri yang baru pertama kali mencuba biarpun pada mulanya agak ragu-ragu.

“Malah, ada yang menyangka laksa mi yang dibungkus dengan daun pisang adalah tapai kerana cara pembungkusannya yang sama dan sebungkus hanya dijual dengan harga RM1 sahaja,” katanya.

dav

Tambahnya lagi, juadah itu semakin digemari ramai sehingga di luar daerah dan negeri ini, namun begitu dia mengakui ada segelintir anak tempatan tidak mengenali dan tahu menyediakan juadah berkenaan.

“Laksa mi semakin dikenali sehingga luar daerah ini dan tidak keterlaluan jika ia dianggap sebagai makanan warisan Manjung terutama di Segari, Pantai Remis dan Pulau Pangkor kerana resipi ini sudah ada sejak dahulu lagi, malah hanya boleh didapati di sini sahaja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");