Sukan Hari Ini

Isu Akhyar: FAP Harap KFA Setuju Bertemu MFL

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) Dr Amar Pritpal Abdullah berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dapat mengadakan pertemuan dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Beliau berkata, selaku rakan kongsi MFL, semua pasukan negeri dan kelab perlu mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan apa saja isu berbangkit daripada terus mensensasikan menerusi media.

“Pada pendapat saya apa saja permasalahan, sesuatu isu yang tidak jelas perlu diatasi menerusi perbincangan demi situasi menang-menang.

“Kita perlu mendapat penjelasan sebelum membuat apa-apa keputusan. Kita selesaikan dulu secara dalaman sebelum bawa keluar. Kita semua adalah rakan kongsi dan seharusnya mempunyai hak untuk bersuara tapi secara perbincangan bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa, lapor mStar Online.

Pada Isnin Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam memberi kenyataan untuk menjemput KFA mengadakan perbincangan pada 10 Januari ini.

Ini berikutan KFA tidak menghantar wakil ketika pertemuan MFL bersama 24 rakan kongsi lain terdiri daripada pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dalam perkembangan sama, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad turut senada dengan Amar menyifatkan pendekatan MFL seharusnya disambut lebih positif.

“Sebagai rakan kongsi bersama MFL, saya berpandangan Kedah duduklah berbincang dahulu bersama MFL.

“Dalam perbincangan itu, mereka boleh bertanyakan terus apa sahaja perkara berbangkit sebagaimana rakan-rakan kongsi lain lakukan dalam Taklimat Pasukan Liga Malaysia di Johor pada minggu lalu.

“Sama ada mereka berpuas hati atau sebaliknya, terpulang kepada mereka tetapi apa yang mustahak, mereka juga sebagai rakan kongsi harus tahu kepentingan mereka dalam MFL.

“Saya secara peribadi berharap perkara yang melibatkan Kedah ini dapat ditangani dengan lebih baik kerana kita mahu menyaksikan liga negara berjalan lebih harmoni,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");