Jenayah

Jabatan Peguam Negara Kecualikan Peneroka Orang Asli Bayar Kos Guaman RM12,000 Kepada 4 Pihak

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju untuk mengetepikan kos guaman berjumlah RM12,000 yang sepatutnya dibayar oleh sekumpulan peneroka Orang Asli di Kampung Pos Lanai, Kuala Lipis, Pahang kepada empat pihak dalam satu kes mahkamah berhubung projek Empangan Telom pada 2015.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan hari ini berkata bahawa pada 8 Januari, 2019, Jeffry Hassan bersama beberapa aktivis Orang Asli dari Pos Lanai, telah mengemukakan memorandum kepada AGC memohon untuk mengetepikan kos prosiding yang diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh bagi menarik balik saman berhubung projek Empangan Telom.

“Jabatan Peguam Negara telah mempertimbangkan permohonan yang dikemukakan dan bersetuju untuk mengetepikan kos prosiding yang diarahkan dibayar kepada Defendan Ketiga dan Keempat.

“Penasihat Undang-undang Negeri Pahang mengambil langkah yang sama apabila bersetuju untuk mengetepikan kos guaman dibayar kepada defendan kedua. Seterusnya, Jabatan Peguam Negara meminta Tenaga Nasional Berhad, Defendan Pertama, mengambil langkah yang sama, “kata kenyataan itu.

Pada 28 Ogos tahun lepas, kumpulan peneroka itu menerima surat dari Jabatan Peguam Negara yang memerintahkan mereka membayar kos selepas mereka selaku plaintif menarik balik saman terhadap TNB (defendan pertama), kerajaan negeri Pahang (defendan kedua) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan kerajaan Malaysia, masing-masing selaku defendan ketiga dan keempat.

Peneroka tersebut telah diperintahkan untuk membayar kos RM3,000, masing-masing kepada empat defendan itu.

Pada 8 Januari, 2019, Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli telah mengemukakan surat rayuan kepada Jabatan Peguam Negara bagi pengecualian kos mahkamah RM12,000 atas alasan mereka berjuang menuntut hak mereka secara sah dari segi undang-undang.

Pengerusinya, Jeffry Hassan berkata, mereka tidak mampu untuk membayar kos RM12,000 kepada keempat-empat defendan itu lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");