Perak Hari Ini

Jangan Hanya Bantu Orang Asli Bila Musim Pilihan Raya

SUNGAI SIPUT:Kerajaan negeri Perak tidak akan sama sekali meminggirkan masyarakat Orang Asal dari pembangunan dan tidak hanya muncul menghulurkan bantuan secara bermusim terutama pada musim pilihan raya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui tidak boleh menerima tindakan sesetengah pihak yang hadir berjumpa kumpulan etnik ini semata-mata untuk meraih undi.

“Saya cukup pantang bila orang datang berjumpa orang Asli semata-mata untuk meraih undi, datang ketika pilihan raya.

“Bila saya dengar Orang Asli ini senang hampir pilihan raya nak dapatkan sokongan orang Asli kita datang bawa beras, minyak itu dan ini mereka pasti sokong kita ini sama sekali tak betul,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian program Kembara Prihatin Senator Malaysia di Pos Yum, Sungai Siput hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Senator Malaysia, Senator Datuk Sri Khairuddin E. S. Abd. Samad dan Ahli Dewan Negara Mewakili Masyarakat Orang Asli Datuk Isa Ab. Hamid.

Katanya lagi Orang Asli mempunyai taraf tersendiri yang perlu dihormati.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab, pentadbiran ini mempunyai visi untuk memajukan masyarakat Orang Asal secara menyeluruh supaya dapat bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini.

“Kerajaan negeri sememangnya komited dalam membela nasib masyarakat Orang Asal dan saya secara peribadi ingin melihat komuniti ini mampu berdiri sama tinggi dengan kaum-kaum lain di luar sana.

“Sejujurnya, ini lah niat sebenar saya. Sebagai Menteri Besar, saya mahu mengubah cara kita berfikir dalam membantu membangunkan masyarakat Orang Asli.

“Kita mahu masyarakat Orang Asal benar-benar mampu keluar dari garis kemiskinan dan menikmati hidup yang lebih selesa. Saya berpegang kepada prinsip bahawa kemiskinan bukan untuk diwarisi. Kita boleh mengubahnya dan saya amat yakin masyarakat ini mampu berubah,” katanya.

Katanya, kerajaan diterajui Pakatan Harapan sama sekali tidak menafikan hak-hak masyarakat Orang Asal untuk mendapat pembelaan kerajaan.

Sementara itu mengulas mengenai program tersebut Khairuddin berkata ianya adalah satu ruang bagi memahami masalah dan keperluan golongan Orang Asli.

“Kita harus datang melihat sendiri dan berdamping dengan mereka bagi menilai masalah dihadapi untuk bantu mereka seperti isu pembalakan haram,pendidikan dan tuntutan tanah,” katanya.

Katanya lagi pihak Senator perlu mendapatkan maklumat lengkap bagi memperjuangkan masalah kaum Asal di Dewan Rakyat kelak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");