Sukan Hari Ini

KAFA Tidak Pernah Aniaya Piya

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) menafikan dakwaan bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi atau lebih dikenali Piya bahawa persatuan itu memberi layanan buruk terhadapnya sepanjang musim 2018.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan menjelaskan pihaknya sedia berunding dengan Piya namun bekas pemain kebangsaan itu sering memberi alasan untuk mengelak menemuinya.

“Sebelum ini pun beliau (Piya) diberi pilihan agar mencari pasukan baharu selepas jendela perpindahan Jun tahun lalu dan KAFA turut memberi penjelasan lanjut berhubung kekangan kewangan persatuan ketika itu.

“KAFA juga pernah berusaha memanggil Piya untuk menyertai pasukan namun dia menyatakan sudah tawar hati bersama The Red Warriors (TRW).

“Selain itu, KAFA pernah mengeluarkan surat peringatan prestasi dan disiplin kepadanya,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi selepas aksi persahabatan pra-musim TRW dengan Terengganu FC.

Mengulas lanjut jumlah tunggakan gaji pemain berusia 36 tahun itu yang difahamkan berjumlah lebih daripada RM150,000, Bibi Ramjani menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melalui Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM).

Akhbar NSTP sebelum ini melaporkan Piya mendakwa KAFA melayannya seperti sampah, musim lalu.

Piya dilaporkan berkata, selain digantung tidak bertali apabila disisihkan daripada pasukan, dia juga hanya menerima gaji terakhir pada April walaupun kontraknya sah hingga November lalu.

Perancang tengah yang menyumbang beberapa kejayaan ketika zaman kebangkitan TRW pada 2010 hingga 2013 itu turut menegaskan, kenyataannya kepada media berhubung tunggakan gajinya tidak menyalahi kontraknya sebagai pemain.

Dalam perkembangan lain KAFA tetap meneruskan usaha mengisi empat kuota import selagi belum menerima sebarang surat rasmi daripada FAM berhubung larangan menambah jumlah pemain import.

“KAFA sudah menandatangani Yuta Suzuki dari Jepun sebagai pemain import baru selepas mengekalkan khidmat pertahanan, Cassio de Jesus. Yuta menyertai TRW hasil tajaan syarikat Yakult tidak menghalang pemain itu didaftarkan untuk musim baru liga,” kata Bibi Ramjani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");