Berita Hari Ini

Kami Ragu-ragu Tawaran Kerja Kerajaan, Kata Bekas Pekerja SPAD

PETALING JAYA: Seorang bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan tahun lalu masih ragu-ragu dengan jaminan kerajaan untuk menempatkan bekas pekerja ke jawatan lain.

Penjawat awam itu yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, sehingga kini dia belum mendapat surat tawaran untuk ditempatkan dalam sektor kerajaan seperti dijanjikan.

“Katanya saya diserap ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi surat tidak dapat lagi. Kalau dapat surat legalah sikit.

“Bila hantar email dekat Kementerian Pengangkutan tidak dibalas. Orang nak hilang pekerjaan ini memang gelabah,” katanya kepada FMT.

Pada 2 Januari lalu, seorang bekas pekerja SPAD yang hanya mahu dikenali sebagai Wan memberitahu FMT dia bersama lebih 250 rakan sekerjanya masih menunggu penempatan semula ke agensi kerajaan lain.

Dia mendakwa ada dalam kalangan rakan sekerja yang ditempatkan di agensi lain dengan skop kerja jauh berbeza daripada tugas asal mereka di SPAD, sementara ada pula yang berdepan pemotongan gaji sehingga 60%.

Pada 4 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, kira-kira 20% bekas pekerja SPAD belum menerima surat tawaran penempatan semula kerana masih menunggu kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dia juga mendedahkan kepada FMT ada juga rakannya yang merupakan bekas pekerja SPAD sudah mendapat surat tawaran kerja tapi ditarik balik dengan alasan tidak cukup kelayakan.

Katanya, ini kerana kelayakan yang dinilai oleh kerajaan sangat tinggi berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.

“Misalnya ketika di SPAD dia bertugas di bahagian Sumber Manusia SPAD tetapi apabila diletakkan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) lain pula bidangnya.

“Kementerian Pengangkutan kata kami patut bersyukur sebab ada yang dibuang terus seperti dari Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). Yang dibuang itu pekerja kontrak, sedangkan kami pekerja tetap,” katanya.

Dalam pada itu, dia berterima kasih kepada kerajaan yang memberi pampasan kepada bekas pekerja SPAD seperti yang dijanjikan.

Katanya, mereka sangat bergantung kepada wang pampasan sementara menunggu pekerjaan lain.

Sebelum ini, Loke berkata kerajaan membayar sejumlah RM23 juta pampasan kepada semua 961 bekas kakitangan SPAD pada 31 Disember lepas.

Beliau berkata pampasan tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan memberi bantuan kepada kakitangan SPAD yang terjejas susulan pembubaran suruhanjaya itu yang diambil alih oleh APAD bermula 1 Januari lalu.

SPAD secara keseluruhannya mempunyai 999 kakitangan merangkumi pekerja tetap dan kontrak, selain pekerja dilantik bawah anak syarikat SPAD, iaitu SPAD Pro Berhad.

Loke berkata, pembubaran SPAD dapat menjimatkan kos perbelanjaan mengurus sebanyak RM38.5 juta setahun, manakala peralihan SPAD kepada APAD yang berperanan melaksanakan dasar pembangunan sektor pengangkutan awam darat, tidak lagi memerlukan penglibatan anggota.

Selain SPAD, Putrajaya turut membubarkan Jasa, Majlis Profesor Negara (MPN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");