Perak Hari Ini

Kebajikan, Harapan Rakyat Keutamaan Saya – Muhamad Arafat

IPOH: Ketua Cabang PKR Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad menyerahkan kepada keputusan pimpinan tertinggi parti berhubung pelantikan barisan anggota Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak yang baharu.

Keputusan yang dibuat dalam mesyuarat MPN parti tersebut baru-baru ini memperlihatkan beliau dan juga Abdul Yunus Jamahri antara dua nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak tersenarai.

Muhamad Arafat yang juga ADUN Hulu Kinta walau bagaimanapun berkata perkara tersebut bukanlah sesuatu isu yang besar sebaliknya kebajikan rakyat adalah perkara yang harus diutamakannya.

“Pada saya, jawatan dalam parti ini bukanlah sesuatu yang utama sebaliknya yang utama ialah soal kebajikan rakyat. Itu yang perlu dijaga.

“Sebagai wakil rakyat, kita mempunyai banyak tugas. Jika kita pegang apa-apa jawatan sekalipun, namun kita mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat, tiada gunanya.

“Bagi saya perkara tersebut bukan isu yang besar. Paling penting sekarang ini saya mahu menyelesaikan isu dan aduan rakyat serta memenuhi harapan rakyat di kawasan saya,” katanya.

Dalam pada itu, melihat kepada muka-muka baharu di dalam barisan MPN PKR Perak, Muhamad Arafat berharap mereka dapat mengambil peluang tersebut dengan sebaik mungkin di dalam perjalanan karier politik masing-masing.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan program bertemu rakyat dan perasmian Pusat Khidmat Bergerak Pejabat ADUN Hulu Kinta di Pasar Tanjung Rambutan, Hulu Kinta, dekat sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut tentang program , Muhamad Arafat berkata, Pusat Khidmat Bergerak itu akan diperluaskan ke semua 13 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam daerah Hulu Kinta.

Jelas beliau, ia akan diadakan secara berkala yang mana akan menyasarkan kawasan-kawasan tumpuan awam bagi memudahkan rakyat berurusan dengan pejabatnya serta beberapa agensi kerajaan yang turut sama menyertai.

“Dari sudut pelaksanaan, ia akan dibincangkan namun, kita menyasarkan semua 13 MPKK ini harus selesai dalam setahun.

“Mungkin ia akan diadakan sama ada sebulan sekali atau dua bulan sekali pada setiap hujung minggu,” ujarnya.

Pada program yang mula berlangsung sekitar jam 8 pagi itu mendapat maklum balas yang positif khususnya daripada kalangan orang ramai yang berada di Pasar Tanjung Rambutan, pagi tadi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");