Berita Hari Ini

Kerajaan Belum Berhasrat Wujudkan Kawasan Khas Merokok

TAIPING: Kerajaan belum berhasrat untuk mewujudkan kawasan khas merokok seperti dilaksanakan di beberapa negara kerana ia akan menyebabkan hak perokok di negara ini dinafikan.

Memetik laporan BH Online, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata kerajaan memahami keresahan dan rasa tidak puas hati perokok sejak kawasan larangan merokok diperluaskan sehingga ke restoran dan kedai makan, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di negara ini sebenarnya tidak sampai satu peratus daripada kawasan yang perokok boleh merokok.

“Ada cadangan (daripada perokok) supaya kita mengadakan kawasan tertentu (berhampiran tempat larangan merokok) untuk mereka merokok dengan contoh yang selalu disebut di Singapura dan Jepun di mana disediakan tapak khas untuk mereka merokok.

“Cuma, saya nak tanya sekiranya kita adakan kawasan khas untuk merokok, bukankah ini satu ‘limitation’ (sekatan) yang lebih kepada perokok.

“Sebab, kita katakan buat sementara waktu, kita tiada kawasan khas untuk merokok, ini bermakna mereka boleh merokok (di mana sahaja) asalkan 10 kaki (tiga meter) dari kawasan larangan, mana-mana tempat boleh merokok.

“Tapi, jika ikut cara Singapura dan Jepun, ini bermakna mereka hanya boleh merokok di kawasan tertentu, kawasan yang lain tidak boleh, bukankah ini satu sekatan yang lebih besar?”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesedaran Penyakit Rabies di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Dr Boon Chye berkata, kerajaan bukan anggap perokok seperti penjenayah dan tidak menafikan hak mereka untuk merokok di kawasan persendirian, tanah lapang serta di luar kawasan larangan merokok.

Beliau juga berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mungkin boleh menyediakan tempat membuang puntung rokok di kawasan yang terletak pada jarak tiga meter dari kawasan larangan merokok, kerana membuang puntung rokok merata-rata bukan sahaja mencemar kebersihan tetapi juga risiko kebakaran.

“Kita faham ada orang bantah, kenapa tidak sediakan tempat buang puntung rokok, (tapi) bila kita buat sampah, jadi tanggungjawab perokok untuk melupuskan puntung rokok. Jika restoran boleh sediakan tempat untuk buang puntung rokok, itu adalah nilai tambah kepada restoran itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");