Perak Hari Ini

Kerajaan Diseru Luaskan Promosi Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya

IPOH: Penurunan jumlah peruntukan kerajaan persekutuan terhadap Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kelainan Upaya (SBGP-OKU) adalah disebabkan jumlah permohonan yang kurang mendapat sambutan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata, skim tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2007, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dengan peruntukan Rm16 juta.

Katanya, jumlah peruntukan pada RMK-10 berjumlah RM10.5 juta telah berkurang kepada RM10 juta, pada RMK-11.

Jelasnya, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kekurangan pendedahan dan promosi merupakan punca utama mengapa kebanyakan golongan OKU tidak membuat permohonan terhadap inisiatif tersebut.

Selain itu, tambah Sivanesan, semenjak SBGP-OKU mula diperkenalkan, hanya seramai 513 golongan OKU sahaja yang menerima bantuan tersebut di seluruh negara.

“Sambutan terhadap skim ini dilihat kurang menggalakkan. Pihak kerajaan diseru untuk meluaskan lagi langkah mempromosikan dan memperkenalkan skim ini kepada OKU di seluruh negara.

“Dan diharap juga, urusan OKU yang mahu mendapatkan bantuan menerusi skim ini dipermudahkan.

“Di Perak, bagi yang berminat, mereka boleh berurusan dengan Pejabat Jabatan Tenaga Kerja di semua daerah ataupun boleh juga menghubungi pejabat saya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sivanesan menjelaskan bahawa beberapa syarat harus dipatuhi sebelum sebarang permohonan SBGP-OKU dibuat dan ia termasuk golongan OKU itu sudah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan.

Tambahnya lagi, pemohon harus mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka yang bertujuan membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU yang lain.

Kata Sivanesan lagi, perniagaan yang dijalankan juga harus berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terlebih dahulu, selain permohonan juga turut boleh dibuat sama ada secara individu ataupun berkumpulan.

“Menerusi skim ini, kita bukan memberi bantuan dalam bentuk tunai sebaliknya ia berbentuk geran untuk tujuan mendapatkan dana bagi menaiktaraf peralatan, ubah suai premis, promosi dan sebagainya,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");