Berita Hari Ini

Kerajaan Jamin Keselamatan Pengamal Media

Kerajaan persekutuan memberi jaminan keselamatan dan kebebasan terhadap pengamal media di negara ini dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam bidang kewartawanan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Shazlee Shith.

Menurut beliau, pihaknya juga bersedia meneliti sekiranya ada keperluan mengenai usaha lebih terjamin bagi pengamal media.

Malah katanya, cadangan untuk mewujudkan Majlis Media Kebangsaan akan tercapai bukan sahaja untuk menjaga kebajikan pengamal media malah untuk masa depan yang lebih terjamin.

“Malah badan itu juga boleh membincangkan perkara-perkara berkaitan keselamatan pengamal media. Saya percaya ia perlu diteliti dan diperhalusi.

“Adakalanya keselamatan kita terancam tapi saya sebagai wakil kerajaan memberi jaminan keselamatan rakan-rakan media. Kita akan bantu mana-mana yang patut.

“Saya tak mahu rakan media berasa terancam ketika menjalankan tugas sekaligus menyebabkan mereka rasa terkekang daripada menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) kali kelapan di Rumah Wartawan, Taman Sari, Kota Bharu, hari ini.

Paling penting nilai berita 

Hadir sama Presiden Kemudi Azran Fitri Rahim dan pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Azhar Ismail.

Eddin Shazlee yang juga anggota parlimen Kuala Pilah berkata, ia bagi memastikan prinsip kebebasan media yang menjadi pegangan kerajaan hari ini dicapai sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

“Kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan amalkan prinsip keterbukaan dan keseimbangan.

“Paling penting kita titik beratkan nilai berita yang disampaikan dan saya tak lihat kehadiran rakan-rakan media sebagai satu ancaman atau keadaan yang perlu kita bimbangi,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan berita dan maklumat tidak tepat sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlan katanya, kerajaan tidak melihat isu yang dibangkitkan boleh menjejaskan keselamatan negara.

“Bagaimanapun kita akan pantau supaya PRK Cameron Highland berjalan lancar dan selamat. Setakat ini belum ada perkara yang serius.

“Kita akan ambil tindakan sekiranya ada laporan polis yang dibuat. Tetapi ada juga dakwaan yang masih kita teliti,” jelasnya. -Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");