Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Tubuh Jawatankuasa Bagi Selesaikan Isu Pencerobohan Tanah

KAMPAR: Isu setinggan dan pencerobohan tanah-tanah kerajaan dapat digambarkan sebagai suatu masalah yang besar sehingga boleh merencatkan pembangunan yang mampu memberi kebaikan kepada rakyat secara am.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, masalah tersebut juga memberi kesan buruk kepada kerajaan negeri dalam usaha untuk menarik lebih ramai pelabur asing ke negeri ini.

Oleh yang demikian, katanya kerajaan negeri kini telah melaksanakan satu inisiatif dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan Negeri Perak.

Jawatankuasa itu dianggotai semua pegawai daerah, wakil daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi-agensi kerajaan.

Jelas Ahmad Faizal, hasil mesyuarat pertama yang dipengerusikan beliau pada 22 Januari lalu, sebanyak 12 kes telah kenal pasti.

Walau bagaimanapun katanya, masih banyak lagi kes pencerobohan tanah lain yang sedang dikaji kerajaan negeri untuk diselesaikan dengan kadar segera.

“Saya dimaklumkan pada tahun 2011, ada lebih 60,000 hektar tanah telah diceroboh secara haram di seluruh negeri. Namun angka itu menurun mendadak apabila pentadbiran terdahulu meluluskan tanah-tanah tersebut kepada GLC, untuk diselesaikan.

“Walaupun perangkaan pencerobohan tanah ini menurun namun hakikatnya, pencerobohan tanah tetap berlaku. Cumanya, ia diserahkan kepada pihak lain untuk diselesaikan,” katanya.

Tambahnya lagi, apa yang lebih membimbangkan kerajaan negeri apabila terdapat aktiviti pencerobohan tanah kerajaan yang dilakukan dengan skala yang besar.

Ujarnya, lebih malang, apabila pengusaha di kawasan tersebut membelanjakan wang ke luar negara selain menggaji pekerja asing untuk menjaga ladang yang diusahakan di atas tanah yang diceroboh secara haram.

Selain itu, pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, bagi pengusaha ataupun pekebun kecil yang bergantung hidup sepenuhnya dengan hasil pertanian, kerajaan negeri akan sentiasa membuka pintu untuk membantu mereka mendapatkan tanah.

“Golongan ini golongan yang miskin dan mereka ini mesti kita bela. Cuma apabila kerajaan mahu bantu mereka, kita perlu cari jalan untuk mendapatkan mereka di tempat yang lebih sesuai.

“Jadi, kemungkinan perlu berlakunya penghijrahan. Dan ini baru yang kita namakan ia sebagai pembangunan terancang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penyiapan Projek Pusat Perdagangan Kampar Fasa 1, di sini, hari ini.

 

Ketika berucap pada majlis, katanya, masalah pencerobohan tanah dan setinggan ini telah menyebabkan kerajaan negeri kehilangan sumber hasil yang besar yang mana ia sedikit-sebanyak merencatkan usaha kerajaan dalam memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Para penceroboh mendapat keuntungan daripada hasil usaha di atas tanah-tanah kerajaan tanpa membuat bayaran.

“Pada masa yang sama, majoriti rakyat dinafikan hak untuk mendapat manfaat daripada kerajaan kerana tidak dapat menjana hasil daripada tanah-tanah milik kerajaan,” ujarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");