Berita Hari Ini

Kerja Menaikkan Kereta Terhumban Ke Laut Bermula

GEORGETOWN: Operasi membawa keluar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang disambung semula jam 7 pagi ini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, ACP Rosman Ismail, berkata bot bersama anggota penyelamat dan penyelam sudah berada di lokasi penemuan kereta Mazda CX5 itu seawal jam 7 pagi bagi melihat keadaan di laut untuk proses membawa naik kenderaan berkenaan.

“Kerja-kerja mengangkat kereta itu dari dasar laut akan bermula jam 9 pagi kerana pihak PLUS (Plus Malaysia Berhad) menasihatkan supaya proses berkenaan bermula lewat sedikit bagi mengelakkan kesesakan di atas jambatan berikutan hari ini adalah hari bekerja.

“Sebahagian jalan di kawasan kilometer 4 Jambatan Pulau Pinang dari bahagian pulau ke Perai akan ditutup bagi membolehkan kren menjalankan kerja-kerja mengangkat kereta Mazda CX5 dibuat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sehubungan itu, tambah beliau, pengguna jalan raya di Jambatan Pulau Pinang diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertugas bagi melancarkan perjalanan di atas jambatan itu.

Rosman berkata operasi hari ini berkemungkinan lebih mudah dan tidak mengambil masa yang lama kerana pasukan penyelamat sudah berjaya mengesan kedudukan SUV berkenaan yang berada 15 meter dari lokasi ia terhumban ke dalam laut dengan kedalaman kira-kira 15 meter.

“Cuma semalam pasukan penyelamat menghadapi beberapa kesukaran kerana keadaan arus yang kuat dan jarak penglihatan di dasar laut terhad berikutan hari semakin gelap, kami harap hari ini semua (usaha mengangkat keluar kenderaan) berjalan lancar,” katanya.

SUV itu dipandu oleh penuntut kolej swasta, Moey Yun Peng, 20, selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta pada jam 2.54 pagi Isnin.

Kenderaan itu berjaya ditemukan pada jam 4 petang semalam di Tiang 34 Jambatan Pulau Pinang sebelum sebuah kren berkeupayaan tinggi tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.45 petang untuk memulakan usaha membawa keluar kenderaan itu dari dasar laut. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");