Perak Hari Ini

Kertas Siasatan Dakwaan Ada Gerakan Mahu Jatuhkan MB Perak Selesai – SPRM

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan berhubung dakwaan wujud gerakan mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, telah selesai.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, kertas siasatan kes berprofil tinggi itu telah diserahkan kepada Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada awal Januari baru-baru ini.

Katanya, sepanjang proses siasatan berlangsung, sekitar 10 orang saksi telah dipanggil dan beliau berpuas hati dengan laporan siasatan kes tersebut.

Walau bagaimanapun, Zainul enggan mengulas lanjut tentang nama-nama saksi yang dipanggil.

“Kita telah serahkan kepada Ibu Pejabat SPRM, dan jika mereka berpuas hati ianya akan diserahkan pula kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Jika sebaliknya, kita tetap akan lakukan siasatan semula, sebelum ia diserahkan kembali kepada Ibu Pejabat dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat SPRM Perak, di Meru Raya di sini, hari ini.

Dakwaan wujudnya gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak dilakukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad pada 25 November, tahun lalu.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa lima ADUN UMNO telah ditemui seorang EXCO kerajaan negeri bagi mendapatkan sokongan usul undi tidak percaya.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan Perak 2019 di sidang DUN lalu, Saarani mendedahkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari adalah individu yang dimaksudkan.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan tuduhan Saarani sebagai cerita kartun dan fitnah.

Malah, sepanjang sidang DUN itu berlangsung, tiada sebarang usul undi tidak percaya dibawa oleh mana-mana ADUN atau EXCO bagi menyingkirkan Ahmad Faizal, seperti didakwa.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");