Berita Hari Ini

Kritik SAR, Lelaki Tampil Mohon Maaf Di Balai Bomba

GEORGETOWN: Seorang pengguna Facebook membuat permohonan maaf secara bersemuka kepada anggota bomba selepas membuat kenyataan biadap mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terhumban ke dalam laut, Ahad lalu.

Chuah Chun Howe hadir ke Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak di sini, pagi tadi, dan bertemu Ketua Balai Bomba Jalan Perak, Ismail Mohd Zain, kira-kira jam 9.30 pagi.

Terdahulu, Chun Howe dalam kenyataannya kepada sebuah portal berkata, beliau menyesal dengan tindakannya yang bercakap secara melulu tanpa memikirkan pengorbanan anggota bomba.

“Saya berjanji tidak akan bercakap yang tidak baik lagi mengenai anggota beruniform Malaysia. Tuan Ismail (Ismail Mohd Zain) sendiri menjelaskan banyak perkara mengenai kes ini dan juga kes lain, serta apa yang perlu dilalui oleh anggota bomba.

“Saya harap semua orang tidak akan buat komen negatif terhadap ahli beruniform seperti yang saya lakukan, jika tidak tahu apa yang dilalui oleh mereka. Sekali lagi saya ikhlas memohon maaf kepada semua warga beruniform di seluruh Malaysia,” katanya lapor Berita Harian.

Chun Howe berkata, akaun laman sosialnya juga ditutup oleh pengendali Facebook selepas ia dilaporkan oleh netizen yang ‘menyerangnya’ sejak kelmarin.

Isnin lalu, Chun Howe memperlekeh usaha anggota bomba yang bertugas dalam operasi SAR kenderaan SUV yang terjunam ke dalam laut itu.

“Skuad penyelamat bomba kita tak guna, cetek je pun tu pun gagal nak cari, semua tido dan makan saja,” katanya.

Komen itu menimbulkan kemarahan netizen yang rata-ratanya menyifatkan dia seolah-olah tidak sensitif dengan kejadian berkenaan, selain menggesa Chun Howe meminta maaf dengan segera atas keterlanjuran katanya itu.

Sementara itu, Mohd Zain berkata Chun Howe datang dengan perasaan kesal dan ingin bertemu anggota bomba.

“Saya memberitahunya bahawa dia harus memohon maaf secara ‘online’ di mana komen dibuat, tetapi dia mengatakan bahawa akaun Facebooknya digantung,” katanya.

“Kami menjelaskan kepada beliau bahawa semua orang mahu menyelesaikan operasi secepat mungkin, tetapi keselamatan adalah keutamaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");