Jenayah

Kutip Derma Tanpa Kebenaran: Warga Pakistan Dipenjara, Denda

KUALA TERENGGANU: Dua warga Pakistan yang mengutip derma tanpa kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM3,000 seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, hari ini.

Memetik laporan Harian Metro, Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof turut menjatuhkan hukuman penjara tambahan lima bulan lagi sekiranya tertuduh, Shoaib Manzoor Hussain, 23, dan Rajpoot Zubair, 23, yang berasal dari Sargodha, Pakistan, gagal menjelaskan denda berkenaan.

Kedua-dua tertuduh yang belum berkahwin mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 90 (4) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 kerana menjalankan aktiviti pungutan derma tanpa kebenaran daripada MAIDAM.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa syariah yang menjalankan pemeriksaan di sekitar Kampung Pengkalan Setar, kira-kira jam 6.30 petang pada 22 Januari lalu terserempak dengan dua lelaki berjubah putih dan memegang fail di kawasan rumah penduduk.

Sejurus dihampiri dan bertanyakan tujuan berada di situ, tertuduh memaklumkan mahu membuat pungutan derma bagi disalurkan kepada Madrasah Tahfiz Al-Quran Kashmir, Pakistan.

Bagaimanapun, mereka gagal mengemukakan surat kebenaran memungut derma dan hasil soal siasat, mereka membuat pungutan tanpa kebenaran sebelum kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam penghakimannya, Mohd Fakhruddin berkata, penipuan mereka menggunakan nama agama semata-mata untuk mengutip derma atas alasan kebajikan adalah melampau.

“Kamu tak hormat dan berani melakukan kesalahan secara terbuka di tempat awam sedangkan kamu sekarang berada di negara yang mempunyai undang-undang dan raja.

“Perbuatan kamu melampau kerana sanggup melanggar peraturan dan membuat penipuan dengan menggunakan nama Islam,” katanya.

Prosiding kes dijalankan menggunakan bahasa Inggeris berikutan kedua-dua tertuduh hanya memahami dan boleh menggunakan bahasa berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");