Perak Hari Ini

Larangan Merokok: 5,462 Premis Diperiksa, 3,334 Notis Dikeluarkan

IPOH: Sehingga semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah mengeluarkan sebayak 3,334 notis amaran kepada pemilik premis perniagaan makanan yang gagal mematuhi piawaian peruntukan peraturan larangan merokok terhadap premis milik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata notis tersebut telah dikeluarkan berikutan pemeriksaan yang dijalankan ke atas 5,462 premis di seluruh negeri.

Katanya lagi, sepanjang operasi pemeriksaan dijalankan dalam tempoh yang sama, semenjak peraturan itu dikuatkuasakan, sebanyak 432 notis amaran telah dikeluarkan kepada individu yang didapati merokok dalam kawasan larangan.

Jelasnya, hanya notis amaran sahaja yang dikeluarkan dan tiada sebarang tindakan akan diambil sebagaimana yang diputuskan Kementerian Kesihatan untuk tempoh enam bulan pertama ini.

Walau bagaimanapun, Sivanesan menyeru agar semua pihak sama ada perokok ataupun pengusaha premis makanan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Jika perokok mengatakan hak mereka untuk merokok, mereka juga harus menghormati golongan masyarakat yang majoritinya tidak merokok, khususnya yang terdiri daripada golongan kanak-kanak.

“Mereka masih dibenarkan merokok tetapi melebihi tiga meter daripada kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan kekeliruan sesetengah perokok terhadap jarak tiga meter seperti yang telah diperuntukkan.

Jelasnya, ukuran tiga meter kawasan larangan merokok adalah bermula daripada meja premis makanan yang terakhir.

“Walaupun peniaga itu meletakkan meja di luar, yang mungkin agak jauh daripada meja-meja lain, ia tetap dikira sebagai kawasan larangan merokok.

“Ukuran tiga meter itu bermula daripada kawasan atau meja yang peniaga itu sedia makanan kepada pelanggan yang datang,” ujarnya.

Di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 tindakan penguatkuasaan ialah mengenakan kompaun RM250 terhadap mereka yang didapati merokok di tempat larangan merokok.

Sekiranya gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.

Pemilik premis pula boleh dikenakan kompaun RM250 sekiranya tidak meletakkan tanda larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");