Sukan Hari Ini

Lebih RM200 Juta Pelaburan Skuad Liga Super

KUALA LUMPUR: Lebih RM200 juta dianggarkan jumlah perbelanjaan keseluruhan 12 pasukan Liga Super bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Memetik laporan BH Online, jumlah tertinggi dalam kalangan pasukan berkenaan dibelanjakan dua pasukan yang akan merebut Piala Sumbangsih pada Sabtu ini iaitu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak.

Kedua-dua pasukan itu difahamkan membelanjakan antara RM25 juta hingga RM30 juta untuk semua urusan termasuk pembelian pemain baharu dan pengurusan pasukan.

Juara lima kali Piala Malaysia, Kedah pula dianggarkan membelanjakan antara RM20 juta hingga RM25 juta dalam mempersiapkan skuad Helang Merah terutama mengikat pemain import dan jurulatih baharu musim ini.

Lima pasukan – Pahang, Selangor, Terengganu, Melaka dan PKNS FC – pula dianggarkan menjadi pasukan pertengahan dalam pelaburan pasukan yang dianggarkan antara RM15 juta hingga RM20 juta.

Hakikatnya, jumlah perbelanjaan setiap pasukan bukan menjadi ukuran utama terhadap prestasi yang bakal dipamerkan setiap mereka musim ini kerana apa yang penting adalah ia perlu mengikut kemampuan kewangan yang dimiliki.

Bagi, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon, perbelanjaan berhemah menjadi perkara utama yang dititikberatkan dalam skuad Red Giants musim ini.

“Perbelanjaan kami mungkin sedikit melebihi musim lalu, dalam RM18 juta. Setakat ini semua bagus dan pemain yang dibawa masuk ada kualiti, tapi apa yang penting kami tidak ‘pecah tabung’.

“Kami sangat berwaspada dalam berbelanja dan jika dilihat pun kami banyak melepaskan beberapa pemain yang bergaji besar sebelum ini,” katanya kepada BH Sukan, semalam.

“Kami gembira dengan perkembangan pasukan, cuma mungkin ada perkara yang kami perlu tingkatkan lagi seperti kami tidak mempunyai pusat latihan yang tetap serta tak dapat mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam.

“Malah, dari aspek sambutan penykong juga sangat baik termasuk dari segi pembelian jersi pasukan musim ini dan jumlah pendaftaran pas bermusim yang hampir mencecah 2,000 pendaftaran walaupun ia kali pertama diperkenalkan.”

Sementara itu, Kuala Lumpur dan PKNP serta dua pendatang baharu Liga Super, FELDA United dan MIFA dianggarkan berada dalam kelompok pasukan paling sedikit berbelanja antara RM8 juta hingga RM12 juta.

Kemelut pemilihan pucuk pimpinan baharu yang masih membelenggu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), sementara FELDA United yang dilaporkan berdepan masalah kewangan dikatakan menjadi faktor mereka terpaksa mengurangkan kos perbelanjaan pasukan masing-masing.

INFO

Anggaran Perbelanjaan Pasukan Liga Super

JDT – RM25 juta hingga RM30 juta

Perak – RM25 juta hingga RM30 juta

Kedah – RM20 juta hingga RM25 juta

Pahang – RM15 juta hingga RM20 juta

Selangor – RM15 juta hingga RM20 juta

Terengganu – RM15 juta hingga RM20 juta

Melaka – RM15 juta hingga RM20 juta

PKNS – RM15 juta hingga RM20 juta

Kuala Lumpur – RM10 juta hingga RM12 juta

PKNP – RM8 juta hingga RM10 juta

FELDA United – RM8 juta hingga RM10 juta

MIFA – RM8 juta hingga RM10 juta

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");